Penduduk bantah operasi kuari
BALING - Kira-kira 100 penduduk sekitar Gunung Pulai membantah pengambilan tanah mereka untuk dijadikan jalan operasi kuari melalui bantahan aman di Kampung Che Wan Jusoh hari ini.
Mereka turut membantah usaha menjadikan sebahagian kawasan Gunung Pulai bagi projek operasi kuari batu kapur.
Bantahan bersama NGO dan aktivis itu turut disertai dua warga emas yang uzur iaitu Siti Ajar Saud, 88, dan Halimah Saud, 90.
Siti Ajar dari Kampung Che Wan Jusoh yang diusung dari atas kerusi oleh anak-anak berkata, dia tetap hadir menyatakan bantahan kerana tidak mahu Gunung Pulai termasuk tanah sawah miliknya diambil bagi projek kuari batu kapur.
"Tok mai sini nak pertahan tanah, gunung..tok pertahan belaka. Tanah-tanah ini adalah warisan untuk anak-anak dan cucu," katanya kepada Sinar Harian.
Katanya, setiap kali solat dia akan berdoa kesejahteraan penduduk dan alam sekitar di kampung itu.
"Kita di jalan yang benar (pertahan tanah dan gunung). ALLAH pasti memberikan balasan kepada orang-orang yang membelot.
"Tanah-tanah dan gunung di sini semuanya akan rosak bila depa ambil buat kuari," katanya.
Penduduk, Saudah Ahmad, 66, berkata, ibunya, Halimah, hadir dengan berkerusi roda kerana mahu bersama-sama membantah usaha menjadikan kawasan Gunung Pulai sebagai operasi kuari.
"Walaupun mak kena strok dan tak boleh cakap, tapi setiap kali kita sembang fasal tanah nak kena ambil dan gunung akan dibuat operasi kuari, dia akan menangis.
"Selagi projek kuari ini maju, selagi itulah projek ini akan berjalan dan mungkin sampai akhir hayat kami. Anak cucu nanti nak duk mana?," katanya.
Katanya, pengambilan tanah penduduk sebagai jalan keluar masuk lori dan jentera berat akan menyebabkan Masjid Kampung Sungai Limau yang terletak berhampiran dicemari habuk dan debu.
"Kita sebagai orang Islam wajib utamakan masjid, kena jaga. Bila operasi kuari itu dijalankan, masjidlah antara yang akan kotor dengan debu dan habuk.
"Jika hari ini lepas tangan, esok jawablah bila didakwa ALLAH di akhirat nanti," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Bertindak Membantah Operasi Kuari Gunung Pulai, Mohd Sabri Mahmud berkata, surat bantahan akan diserahkan kepada Jabatan Alam Sekitar termasuk beberapa agensi terlibat memohon Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat isu ini.
Menurutnya, lebih lima buah kampung di sekitar Mukim Pulai bakal menerima kesan buruk antaranya risiko kesihatan dan ancaman gegaran letupan jika kuari beroperasi.
"Ada rumah penduduk terletak hanya 100 atau 200 meter dengan kawasan operasi kuari. Jarak Sekolah Kebangsaan Pulai dengan lokasi kuari pula cuma 700 meter.
"Selain itu, Sungai Ketil yang bekalkan air kepada loji rawatan terletak kira-kira 100 meter saja dari lokasi terbabit. Ini akan menyebabkan sumber air ribuan penduduk dan kawasan pertanian berhampiran terjejas," katanya
Beliau berkata, penduduk tidak menolak sebarang kemajuan tetapi biarlah projek berkenaan tidak membawakan ancaman kepada nyawa manusia dan alam sekitar.
"Di Gunung Pulai mempunyai banyak gua termasuk khazanah lain seperti sungai dan tapak sejarah pemerintahan Syahbandar Pulai (pemerintah Kesultanan Kedah silam) yang boleh dibangunkan sebagai pusat pelancongan," katanya.
Untuk rekod, warta pengambilan 29 tanah bergeran bagi pembinaan jalan kuari dibuat pada 1 Mac 2018 dan projek berkenaan diluluskan kepada sebuah syarikat milik kerajaan negeri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!