Patut dari semalam rasa tak sedap hati: Issey
DI SEBALIK kelincahan dan gelak tawanya di pentas ketika membuat persembahan di Muzikal Lawak Superstar malam tadi, pelawak dan penyampai radio Suriafm, Issey, rupa-rupanya sedang berdepan saat sukar apabila dimaklumkan tentang keadaan ibunya yang jatuh di rumah mereka di Kota Bharu.
Menurut Issey, ketika dihubungi semalam, ibunya memaklumkan semuanya dalam keadaan baik, namun sebaliknya berlaku pada hari ini apabila doktor mengesahkan tulang paha ibunya telah patah.
“Selepas rehearsal MLS semalam, aku dapat tahu mak aku jatuh di rumah. Bila aku call, dia cakap OK.
“Pagi ni aku baru tahu yang peha dia patah. ALLAH... patut dari semalam rasa tak sedap hati,” luah Issey di laman Instagramnya.
Menurut Issey atau nama sebenarnya Fazlisham Mat Hussien, 32, awal pagi tadi dia terus bergegas pulang ke Kota Bharu untuk melihat keadaan ibunya.
“Aku sampai KB pagi tadi pukul 8, bawak mak pergi klinik. Ingatkan terseliuh biasa. Bila x-tray, baru dapat tahu yang tulang peha dia patah. ALLAH
Sekarang on the way bawa mak ke hospital. Doakan baik-baik ok,” ujar Issey lagi.
Issey merupakan salah seorang peserta Muzikal Lawak Superstar yang bertanding menerusi kumpulan Libra bersama Amar dan Ain Edruce.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!