Jangan kejar untung sahaja: KP Kelantan
RANTAU PANJANG - Pengusaha pengangkutan awam di negeri ini dingatkan supaya tidak terlalu mengejar keuntungan sehingga mengabaikan aspek keselamatan dalam penyediaan perkhidmatan kepada masyarakat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, beliau tidak mahu insiden yang menimpa, Wan Muhammed Adam Mohd Suria,12, terus berulang pada masa hadapan.
"Pada saya apa yang berlaku kepada Wan Muhammed Adam wajar dijadikan sebagai pengajaran.
"Sudah menjadi tanggungjawab pengusaha atau pemandu untuk membuat pemeriksaan rapi ke atas kenderaan mereka," katanya selepas diminta mengulas insiden yang meragut nyawa Wan Muhammed Adam selepas terpijak lantai bas yang reput sebelum terjatuh dari kenderaan tersebut yang sedang bergerak di Kampung Kandis, Bachok Khamis lalu.
Terdahulu, Hasanuddin merasmikan Program Sinergi Ilmu Suksis Universiti Malaya (Prosis) di Kelab Rukun Tetangga (KRT) Kampung Gaung Kiat, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah.
Program itu membabitkan kontinjen Kuala Lumpur bersama mahasiswa UM yang berlangsung selama tiga hari bermula Khamis lalu yang mana turut memberi sumbangan kepada 25 keluarga asnaf.
Menurutnya, langkah tersebut amat bertepatan kerana pengusaha dan pemandu bas mengetahui selok-belok kenderaan tersebut sama ada berada dalam keadaan baik atau tidak.
Katanya, selain bas perkhidmatan awam lain seperti teksi perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan.
Dalam pada itu, Hasanuddin turut meluahkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan memohon kerjasama semua pihak pengurusan pengangkutan awam untuk lebih berhati-hati supaya kejadian sebegitu tidak berulang lagi.
"Apa yang paling penting ingin saya tekankan supaya pemandu pengangkutan awam tidak hanya pentingkan keuntungan malah perlu bayangkan bagaimana perasaan jika kejadian sebegini menimpa anak atau saudara mereka sendiri.
"Jika pemilik atau pemandu bas tidak menganggap perkara sebegini sesuatu yang remeh temeh, ia bagaikan suatu perangkap yang akhirnya boleh menyebabkan kematian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!