Denggi di Selangor membimbangkan: Exco
Exco Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebanyak 35,544 kes dicatatkan sehingga epid 26 (29 Jun) dengan kadar kematian 30 kes menunjukkan peningkatan berbanding 18,249 kes tempoh yang sama, tahun lepas.
"Disebabkan kes demam denggi itu tidak melibatkan ahli keluarga mereka maka ramai yang tidak mengambil serius isu ini.
"Saya memohon agar rakyat dan aktivis masyarakat serta ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu menangani masalah kes demam denggi di kawasan mereka," katanya pada Program 3W 'Wellness, Welfare, Woman' di Batu Caves hari ini.
Program dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari merangkap ADUN Sungai Tua.
Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri banyak melaksanakan kempen dan program gotong-royong di selangor untuk meningkatkan kesedaran awam namun kes denggi masih tinggi.
"Kes-kes denggi masih menunjukkan peningkatan walaupun kita telah membuat kawalan sebaik mungkin dan memperkenalkan pelbagai inisiatif.
"Kesedaran itu masih rendah, sudah sampai masanya selain memberi ganjaran kita juga akan memberikan 'tekanan' dalam bentuk kompaun kepada mereka yang tidak mengawal pembiakan nyamuk aedes," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!