Wanita terjatuh tingkat enam pusat beli belah
JOHOR BAHRU - Seorang wanita berusia 56 tahun maut selepas terjatuh dari tingkat enam tempat letak kereta sebuah pusat beli belah di Tampoi, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, makluman mengenai kejadian itu diterima pasukan peronda bermotosikal kira-kira jam 2.20 petang.
“Daripada keterangan saksi, sebelum kejadian dia telah diajak oleh mangsa untuk datang ke pusat beli belah tersebut bagi tujuan berjalan-jalan.
“Namun apabila sampai di tempat letak kereta pada aras enam, mangsa tiba-tiba memanjat tembok tempat letak kereta bangunan itu lalu terus terjun ke bawah walaupun cuba dihalang saksi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohd Taib berkata, siasatan awal setakat ini bagaimanapun tidak menunjukkan terlibat sebarang unsur jenayah.
Beliau berkata, polis juga mensyaki wanita berkenaan nekad bertindak sedemikian kerana masalah kemurungan dan gangguan emosi yang dialaminya sejak April lalu.
“Siasatan sedang diteruskan, buat masa ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
"Mayat mangsa juga telah dibawa ke Hospital Sultanah Aminah untuk tindakan lanjut,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!