Terma Bangsa Johor menyatukan rakyat Johor
JOHOR BAHRU - Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan tampil menjelaskan terma 'Bangsa Johor' dan semangatnya yang selalu disalah tafsir oleh pelbagai pihak.
Menurutnya, terma Bangsa Johor sudah wujud sebelum kemerdekaan lagi dan merupakan cetusan idea dan naratif yang berasal dari Istana Johor.
"Ia bertujuan untuk menyatukan rakyat di bawah naungan keluarga Diraja Johor terutamanya Duli Yang Maha Mulia Sultan Sir Abu Bakar.
"Secara antropologi dan sosiologi juga, rakyat-rakyat pada waktu dahulu lebih suka mengklasifikasikan diri mereka sebagai rakyat di bawah satu tanah jajahan kesultanan," katanya di sini hari ini.
Vidyananthan berkata, oleh itu, sejarah negara tidak sepatutnya dinilai bermula dari saat kemerdekaan dan pembentukan Malaysia.
Selain itu, katanya, konsep Bangsa Johor telah lama menyatukan pelbagai bangsa di Johor.
"Di bawah konsep ini, kita telah diberi ruang dan peluang yang seluasnya untuk bersama menikmati serta bersaing dalam arus pembangunan negeri.
"Mereka boleh berinteraksi dan mengambil bahagian dalam rutin seharian tanpa prejudis dan disisihkan.
"Maka, mengapa perkara baik seperti ini menjadi sesuatu yang mengancam kestabilan dan pembinaan Persekutuan Malaysia pula?," katanya.
Beliau berkata, akan wujud perbezaan pendapat berkenaan interpretasi sejarah, politik, sosiologi dan antropologi berkenaan konstruk Persekutuan Malaysia.
"Pihak yang sengaja menjaja isu ini seharusnya lebih bijak dalam memberikan pendapat dan menguruskan perbezaan. Dampingilah ahli-ahli akademik dan mintalah pandangan terhadap isu yang berkait.
"Janganlah memberikan pandangan peribadi terhadap sesuatu perkara yang amat sensitif seperti ini. Malaysia tidak memerlukan pihak-pihak yang populis dan dengan sengaja menimbulkan ketegangan dan salah faham," katanya.
Vidyananthan berkata, mengatakan konsep Bangsa Johor tidak lagi relevan atau tidak terpakai, adalah penzahiran kepada butanya seseorang itu pada sejarah negara serta penduduknya yang pelbagai.
"Mungkin golongan terbabit merasakan pendirian dan pendapat mereka adalah satu kebenaran.
"Tetapi kita di Johor, terutama sekali masyarakat India telah lama hidup di bawah payung konsep Bangsa Johor ini. Ia langsung tidak memudaratkan sesiapa, selama beratus tahunnya," katanya.
Terdahulu, media melaporkan kenyataan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim yang mendesak penggunaan terma Bangsa Johor dihentikan kerana dianggap tidak sihat dalam sebuah negara persekutuan.
Pengerusi PKR Johor itu juga dilaporkan berkata, orang Johor tidak boleh taksub dengan terma Bangsa Johor kerana ia bersifat kenegerian.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!