Pelajar bakal duduki PT3 maut kemalangan
KUALA SELANGOR - Seorang pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun ini maut selepas motosikal diboncengnya bersama rakan bertembung dengan sebuah motosikal lain di Simpang Empat Block D Sawah Sempadan, Tanjong Karang di sini petang tadi.
Dalam kejadian jam 2 petang itu, mangsa, Laili Dana Mohamad Fauzi, 15, yang belajar di sebuah sekolah agama di Sungai Besar meninggal dunia ketika dirujuk di Wad Kecemasan Hospital Tanjong Karang akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Md Asri A Wahab berkata, kemalangan dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda Wave ditunggang rakan sebayanya dari arah Sungai Besar menghala ke arah Kuala Selangor.
"Sebaik tiba di tempat kejadian, tiba-tiba sebuah motosikal jenis sama ditunggang masing-masing lelaki berusia 28 dan seorang pembonceng berusia 21 tahun dari arah Block D gagal berhenti di simpang tersebut lalu bertembung dengan motosikal terbabit," katanya.
Md Asri berkata, akibat kemalangan itu, keempat-empat mangsa terlibat dikejarkan ke Hospital Tanjong Karang.
"Rakan kepada mangsa maut mengalami patah paha kanan dan tangan kanan.
"Manakala penunggang motosikal lelaki pula patah kaki kiri dan pemboncengnya pula dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh akibat koma," katanya.
Beliau berkata, mangsa maut yang beralamat di Pekan Selasa Sungai Haji Dorani, Sungai Besar dibawa ke Hospital Tanjong Karang untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!