Impian Annas Mikhail jadi kenyataan

Pesakit kanser leukemia kronik, Annas Mikail Abdullah, 3, didukung ibu saudaranya Nur Syafiqah Zainal Abidin melihat beberapa ekor gajah ketika mengunjungi Zoo Taiping & Night Safari hari ini. Foto: Bernama
Pesakit kanser leukemia kronik, Annas Mikail Abdullah, 3, didukung ibu saudaranya Nur Syafiqah Zainal Abidin melihat beberapa ekor gajah ketika mengunjungi Zoo Taiping & Night Safari hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

TAIPING - Impian seorang kanak-kanak penghidap leukemia kronik untuk melihat binatang dan rama-rama di zoo menjadi kenyataan apabila dia dibawa melawat Zoo Taiping & Night Safari di sini hari ini.

Kegembiraan dan keceriaan jelas terpancar di wajah Annas Mikhail Abdullah, 3, sebaik sahaja menjejak kaki di zoo tersebut bersama neneknya, Faridah Wan Chik, 48, hasil inisiatif Persatuan Sahabat Kanak Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan).

Presiden Foccan, Maznah Tayib berkata, usaha membawa Annas Mikhail yang dikesan menghidap penyakit kanser itu sejak berusia enam bulan merupakan tanggungjawab sosial pihaknya sebagai sebuah pertubuhan bukan kerajaan.

"Kita mendapat tahu kanak-kanak ini tiada lagi rawatan dan doktor menjangkakan jangka hayatnya tidak lama.

"Foccan memberikan sokongan moral dan menunaikan impiannya agar terus ceria," katanya kepada pemberita selepas membawa Annas Mikhail melawat Zoo Taiping & Night Safari di sini hari ini.

Disebabkan penyakit dihidapi, anak sulung daripada dua beradik itu tidak lagi ceria dan aktif, malah doktor juga mengesahkan kesihatan Annas Mikhail semakin merosot.

Pakar di Hospital Pulau Pinang (HPP) tidak lagi meneruskan rawatan kimoterapi ke atas Annas Mikhail kerana bimbang ia memberikan kesan negatif kepada organ dalaman seperti hati dan limpa.

Sementara itu, Faridah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak Foccan kerana menunaikan hajat Annas Mikhail untuk melihat haiwan dan yang pasti menjadi hari penuh bermakna buat cucunya.

Artikel Berkaitan:

"Saya melihat cucu saya ini seronok dan teruja apabila melawat zoo walaupun dia tidak boleh berjalan.

"Dia paling suka tengok gajah dan hajatnya itu sudah ditunaikan oleh Foccan dan Pusat Khidmat Palimen Bagan Serai," katanya yang menjaga Annas Mikhail disebabkan ibu bapa kanak-kanak itu mempunyai masalah.-Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!