APM selamatkan remaja sesak nafas daki bukit
ALOR SETAR - Tindakan pantas anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap menyelamatkan seorang pelajar perempuan tingkatan lima yang mengalami sesak nafas di puncak Bukit 8888 di Pokok Sena dekat sini, hari ini.
Pegawai APM Padang Terap Leftenan (PA) Mohd Shukri Shuib berkata, sebelum kejadian itu mangsa yang berusia 17 tahun sedang melakukan aktiviti pendakian bersama beberapa rakannya yang lain bermula 5.30 petang.
Bagaimanapun, Mohd Shukri berkata mangsa tiba-tiba sesak nafas ketika berada di puncak bukit itu pada ketinggian 198.98 meter.
"Pusat Operasi Padang Terap menerima panggilan kecemasan sebelum tiga anggota bergegas ke lokasi dan tiba di situ pada 6.55 petang.
"Anggota berdepan laluan sukar kerana perlu mendaki puncak bukit hampir 200 meter.
"Sejurus tiba di lokasi, rawatan pantas diberikan sebelum mangsa stabil dan dibawa turun menggunakan pengusung," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
Beliau berkata mangsa kemudian dibawa ke Hospital Kuala Nerang untuk rawatan lanjut.
Katanya difahamkan pendakian kumpulan remaja itu tidak melibatkan aktiviti anjuran pihak sekolah remaja berkenaan.
"Mangsa dan rakan-rakan dia mendaki sendiri untuk santai-santai sahaja," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!