Kelip-Kelip Kampung Kuantan tumpuan pelancong dunia
KUALA SELANGOR - Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) menyasarkan 100,000 jumlah pelancong terutama dari luar negara mengunjungi Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan pada tahun ini.
Setiausahanya, Azman Dahlan berkata, jumlah itu lebih tinggi berbanding tahun sebelumnya sejak pusat itu mula dibuka pada tahun 1970.
Menurutnya, pusat itu berada dalam senarai popular dunia dan menjadi destinasi tumpuan pelancong.
"Sebelum ini, kebanyakan pelancongan dari China, tetapi sekarang ini jumlah pelancong meningkat dari Jepun, Korea, United Kingdom dan Amerika Syarikat.
"Selain itu, kita turut menerima pelancong dari Asia Barat seperti dari Arab Saudi dan sekitar Asia Tenggara seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Singapura, Brunei serta Filipina," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Perasmian Hari Kelip-Kelip Sedunia 2019 di Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan di sini semalam.
Azman berkata, pihaknya kini dalam usaha menarik pelancong dari Jerman untuk merasai pengalaman melihat keindahan kelip-kelip.
"Pusat Santuari Kelip-Kelip Kampung Kuantan antara lokasi melihat kelip-kelip terbaik bukan sahaja di negara ini tetapi di Asia.
"Malah, pengunjung juga boleh melihat kelip-kelip di sepanjang lima kilometer Sungai Selangor di sini dengan lebih mudah kerana tidak perlu melalui kawasan hutan yang mencabar dan sebagainya," katanya.
Menurutnya, pembangunan kelip-kelip di pusat itu dibangunkan menerusi projek komuniti gabungan sektor awam, korporat, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti.
Dalam perkembangan sama, katanya, MDKS merancang menambah tarikan baharu berkaitan serangga selain daripada kelip-kelip kepada pelancong di daerah berkenan.
"Kita ada spesies baharu pepatung di Puncak Alam, lebah kelulut di (Selangor) Fruits Valley dan sebuah taman bersepadu rama-rama, pepatung, lebah kelulut serta kelip-kelip di Taman Alam," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!