Banyak aktiviti lain selain tarian mencolok mata: Mufti

Muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini.
Muka hadapan akhbar Sinar Harian hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menegaskan banyak aktiviti lain yang boleh dilakukan berbanding mengadakan persembahan tarian mencolok mata ketika program melibatkan pelajar.

Katanya, dalam majlis konvokesyen yang melibatkan pelajar, penganjur sebaiknya mengadakan aktiviti yang memberi manfaat yang menjurus kepada cinta terhadap ilmu.

“Tidak begitu manis (anjur tarian melibatkan pasangan bukan muhrim). Kita lebih merestui sekiranya majlis konvokesyen itu diadakan pertunjukan yang menggalakkan para pelajar kepada perkara-perkara yang baik terutamanya yang menggalakkan mereka untuk terus minat kepada ilmu.

“Ada banyak alternatif umpamanya buat lakonan yang memberi semangat atau motivasi kepada pelajar untuk lebih beraspirasi meningkatkan ilmu,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Tambah beliau, persembahan tarian tersebut tidak memberikan impak yang bermanfaat kepada pelajar, pihak universiti mahupun kepada ibu bapa yang menontonnya.

“Saya yakin ibu bapa pun kurang senang menonton tarian sebegitu.

“Islam tidak menghalang untuk kita maju, tapi bukan hanya maju dari segi ilmu, politik, ekonomi tapi juga akhlaknya,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, persembahan tarian yang dilakukan itu dibimbangi akan membawa kepada akibat yang tidak baik dari segi moral penontonnya.

Artikel Berkaitan:

“Tarian adalah satu cabang seni paling mudah membawa kepada penyelewengan dari segi akhlak apatah lagi bercampur antara lelaki dan perempuan. Ini dibimbangi akan membawa kepada akibat yang tidak baik.

“Dalam agama kita khususnya dalam al-Quran ada menyebut ‘jangan kamu hampir kepada zina’ bermaksud jangan kamu melakukan perkara-perkara yang mudah membawa kepada berlakunya zina,” katanya.

Justeru beliau menyarankan kepada mana-mana penganjur majlis supaya lebih berhati-hati dab mengambil kira pelbagai sudut terutamanya sebelum menganjurkan sebarang majlis.

“Kita ini orang timur yang menghormati nilai-nilai murni.

“Kalau nak adakan pertunjukan, perlulah ambil kira semua ajaran agama dan nilai murni yang selama ini kita dukung,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!