Sarawak, Persekutuan bincang cadangan pinjaman kontra RM1 bilion: Abang Johari

Abang Johari Tun Openg
Abang Johari Tun Openg
A
A
A

KUCHING – Kerajaan Sarawak telah berbincang dengan kerajaan Persekutuan melalui Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik mengenai cadangan pinjaman kontra berjumlah RM1 bilion yang akan diperuntukkan bagi membaik pulih sekolah daif di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata aturan untuk menawarkan RM1 bilion sebagai kontra pembayaran pinjaman negeri sebanyak RM2.4 bilion telah dipersetujui secara prinsip oleh kedua-dua pihak.

"Kami juga telah menghantar surat kepada Kementerian Kewangan (MOF)," katanya kepada pemberita pada majlis Satok Gawai Raya Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di Kampung Segedup di sini, malam tadi.

Mengulas mengenai kenyataan oleh MOF semalam bahawa kerajaan negeri belum memberikan sebarang maklum balas rasmi kepada kerajaan Persekutuan mengenai perkara itu, Abang Johari juga berkata beliau tidak dimaklumkan tentang sebarang perubahan perjanjian awal dengan Maszlee semasa mesyuarat mereka pada Mei lalu.

Beliau masih belum melihat butir-butir empat mekanisme undang-undang yang ditetapkan oleh MOF mengenai cadangan kerajaan Sarawak untuk menggunakan pembayaran balik pinjaman kontra untuk membaiki sekolah yang usang itu, kata Ketua Menteri.

Dalam kenyataan itu, Kementerian Kewangan berkata pendirian kerajaan Persekutuan terhadap kaedah pembaikan sekolah di Sarawak oleh empat mekanisme undang-undang telah dijelaskan kepada kerajaan Sarawak semasa mesyuarat di kementerian pada 11 Mac 2019, diikuti dengan surat bertarikh 20 Mac, 2019.

Pertama, kerajaan Sarawak mesti membayar balik sehingga RM1 bilion daripada jumlah hutangnya daripada kerajaan Persekutuan ke dalam Kumpulan Wang Disatukan Kerajaan Persekutuan. Ini adalah selaras dengan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan Malaysia.

Kedua, kerajaan Persekutuan akan menyalurkan jumlah yang sama seperti yang dibayar oleh kerajaan negeri sebagai peruntukan untuk digunakan bagi projek-projek membaiki sekolah-sekolah yang usang di Sarawak.

Artikel Berkaitan:

Ketiganya, kerja-kerja pembaikan sekolah-sekolah yang usang di Sarawak perlu ditawarkan menerusi tender terbuka, untuk memastikan ketelusan dan nilai saksama berdasarkan pengaturan kewangan Kerajaan Persekutuan semasa.

Keempat, kerajaan Persekutuan bersedia untuk mempertimbangkan keutamaan kerajaan Sarawak dalam menentukan sekolah-sekolah yang akan diperbaiki.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!