Ambil alih penyelenggaraan loji rawatan: JSW punya kelebihan

No Image Caption
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Syarikat milik penuh Kerajaan Johor, Johor Special Water (JSW) mempunyai kelebihan bagi mengambil alih tugas penyelenggaraan loji rawatan kumbahan daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)

Exco Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor, Jimmy Puah Wee Tse berkata, JSW akan menjadi syarikat yang dapat memberi kepentingan 100 peratus kepada kerajaan negeri berbanding syarikat pembentung sedia ada.

"Pelan perniagaan syarikat pembentung yang sedia ada tidak memberi manfaat kepada kerajaan negeri kerana segala pendapatan akan disalurkan kepada syarikat individu.

"Memandangkan JSW adalah sebuah syarikat milik penuh kerajaan negeri, syarikat ini akan menjadi syarikat yang dapat memberi kepentingan 100 peratus kepada kerajaan negeri," katanya pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Pertama Dewan Negeri Johor Ke-14 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Izhar Ahmad (PH-Larkin) mengenai kelebihan JSW bagi mengambil alih tugas penyelenggaraan loji rawatan kumbahan daripada PBT.

Wee Tse (PH-Bukit Batu) berkata, JSW telah melantik kakitangan utama berpengalaman lebih 30 tahun dalam industri pembetungan dan rawatan air kitar semula.

Katanya, JSW juga telah mengenalpasti beberapa 'key personnel' yang mahir dalam operasi dan selenggaraan sistem pembentungan yang bersedia untuk sertai syarikat itu pada bila-bila masa diperlukan.

"Selain itu, JSW merupakan syarikat yang telah terlibat dalam membekalkan air mentah ke kawasan perindustrian Tanjung Langsat seawal tahun 2011.

Artikel Berkaitan:

"Kini, JSW juga dalam peringkat akhir persediaan bagi membekalkan air kepada pelabur untuk kegunaan air industri di beberapa kawasan perindustrian di Sedenak melalui proses penyahgaraman," katanya.

Beliau berkata, pada masa sama, JSW telah mencapai persetujuan untuk membekalkan air industri kepada pelabur di kawasan Kompleks Bersepadu Petroleum Pengerang (PIPC).

"Oleh yang demikian, JSW mempunyai kepakaran yang boleh digunakan untuk membekalkan air kumbahan terawat sebagai alternatif untuk kegunaan pelanggan industri yang mana secara tidak langsung dapat meningkatkan bekalan simpanan air.

"JSW dapat membuka peluang pekerjaan (peringkat awal anggaran 80 orang kepada rakyat Johor) dan peluang perniagaan kepada kontraktor di Johor. JSW juga telah bekerjasama dengan beberapa konsultan berpengalaman dalam industri pembentungan untuk membantu JSW menyediakan latihan dan kemahiran mengikut standard terkini yang diamalkan di negara-negara maju dalam industri ini," katanya.

Selain itu, katanya, tumpuan JSW adalah hanya kepada industri kumbahan di Johor terutama di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

"Oleh yang demikian, segala usaha pembangunan adalah tertumpu kepada Johor yang mana ia berbeza dengan operator pembentungan sedia ada yang perlu membahagikan usaha mereka kepada banyak negeri," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!