Calon UPSR mengaku curi motosikal
KUALA TERENGGANU - Seorang calon Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu hari ini atas tuduhan mencuri sebuah motosikal, Jun lalu.
Tertuduh berusia 12 tahun dari Kelantan bagaimanapun mengaku salah atas tuduhan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana mencuri kenderaan.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri sebuah motosikal jenis Modenas Kriss bernilai RM1,000 milik Ahmad Affandi Awang, 54, di bawah garaj, hadapan blok E, Flat Gelong Bilal Jalan Pasir Panjang, di sini, antara jam 7.30 malam pada 25 Jun hingga 6.30 pagi pada 26 Jun lalu.
Dengan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dari setahun dan tidak lebih dari tujuh tahun dan boleh dikenakan denda, jika disabitkan kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan L Rathna di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah seterusnya menetapkan 24 Julai untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!