Kerana abang, adik diganggu ah long
IPOH - Seorang ahli perniagaan bimbang keselamatan keluarganya selepas diganggu sekumpulan ah long gara-gara tindakan abangnya yang melakukan pinjaman sejumlah RM2 juta.
Tan Ee Keng, 52, berkata, dia tidak mengetahui perbuatan abangnya, Tan Ee Teik, 53, itu sehinggalah menerima panggilan telefon dari ah long yang memintanya melunaskan pinjaman terbabit Oktober tahun lalu.
"Abang saya mempunyai syarikat pembinaan dan difahamkan dia membuat pinjaman itu untuk pelaburan tetapi dia sudah menghilangkan diri. Saya sendiri tidak dapat menghubunginya.
"Sejak itu, kami pula perlu menanggung beban dengan gangguan ah long sedangkan kami tidak melakukan atau terlibat dalam pinjaman itu," katanya ketika ditemui pada sidang media bersama Ahli Parlimen Gopeng, Dr Lee Boon Chye di Pusat Khidmatnya di Bandar Seri Botani di sini hari ini.
Menurutnya, tindakan ah long itu disifatkan sebagai melampau apabila telah mengganggu anak lelakinya pula menerusi panggilan telefon.
"Susulan itu, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Sungai Senam. Gangguan itu tidak berakhir apabila kumpulan itu cuba memalukannya dengan menampal poster di sekeliling rumah mendesak untuk saya bayarkan duit itu.
"Pelbagai cara dilakukan termasuk menyiarkan iklan di akhbar dan bersemuka dengan ah long bahawa saya tidak mempunyai kaitan dengan pinjaman itu," katanya.
Ee Keng berkata, dia mengharapkan pihak terlibat tidak mengganggu keluarganya serta meminta abangnya dapat menjelaskan pinjaman itu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!