Khairul Hafiz kembali ke trek
Khairul Hafiz
A
A
A
Kejohanan terakhir yang disertai atlet berusia 20 tahun itu ialah, Kejohanan Terbuka Innotex-Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) pada November 2018, di mana beliau meraih emas dengan catatan 10.55 saat pada final, sebelum memulakan rawatan dan proses pembentukan fizikal bersama pakar Institut Sukan Negara (ISN).
Harapan jurulatihnya, Mohd Poad Md Kassim adalah untuk melihat anak didiknya kembali mendapatkan rentak larian, dengan mencatatkan masa di bawah 10.40s, dalam usaha mempertahankan pingat emas Sukan SEA.
“Kejohanan ini (Universiade) penting baginya untuk tanam keyakinan sebab dah lama tak lari. Saya harap Khairul dapat serap segala keadaan semasa kejohanan, terutamanya kejohanan besar seperti Universiade,” katanya kepada Bernama.
Walaupun Mohd Poad tidak mengikuti Khairul Hafiz ke Itali, beliau tetap mengharapkan keputusan dan prestasi yang terbaik buat anak buahnya yang kini menuntut di Universiti Putra Malaysia (UPM).
Atlet kelahiran Merlimau itu, yang mempunyai catatan peribadi terbaik 10.18s dicatatkan pada Sukan Malaysia (Sukma) Sarawak 2016, yang juga merupakan rekod kebangsaan, perlu kembali mendapatkan rentaknya sebelum Sukan SEA Filipina yang dijadualkan bermula 30 Nov ini sekiranya mahu mempertahankan gelaran Raja Pecut Asia Tenggara.
Beliau sudah pasti menerima saingan sengit daripada Juara Dunia Bawah-20 tahun, Lalu Muhammad Zohri, 18, yang mencatatkan 10.03s di kejohanan Golden Grand Prix Osaka pada Mei lalu, sekiranya Indonesia membenarkan atlet itu menyertai Sukan SEA, kerana fokus utamanya adalah Kejohanan Dunia di Doha pada Oktober dan Sukan Olimpik Tokyo 2020.
Catatan terbaik semusim Khairul Hafiz bagi 2018 adalah 10.28s di Kejohanan Kebangsaan Besigheim, Jerman pada Julai tahun lepas.
Sementara itu, jurulatih skuad olahraga Universiade negara, Nazmizan Mohamad berkata semua 11 atlet olahraga negara, termasuk pelari pecut Khairul dan Jonathan Nyepa (100m lelaki) sudah bersedia untuk beraksi di Napoli.
“Sasaran pingat diletakkan ke atas Muhammad Irfan Shamsuddin (lempar cakera lelaki), manakala bagi pelari pecut, layak ke final boleh dah cukup baik,” kata bekas Raja Pecut Sukan SEA 2003 itu ketika dihubungi di Napoli. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!