JAS Johor terima 8 aduan pencemaran Sungai Kopok
ISKANDAR PUTERI - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Johor mengambil maklum isu pencemaran di Sungai Kopok, Perigi Acheh dekat Pasir Gudang.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata, berdasarkan rekod, sebanyak lapan aduan pencemaran Sungai Kopok diterima JAS sejak tahun lalu.
"Aduan-aduan tersebut adalah berkaitan dengan perubahan warna air, air sungai berbau busuk dan berwarna hitam serta pernah berlaku kejadian ikan mati.
"Hasil siasatan yang telah dijalankan oleh Unit Aduan JAS Johor serta keputusan laporan analisa contoh air sungai yang telah diambil, mendapati punca utama pencemaran di Sungai Kopok adalah pelepasan efluen industri yang mempunyai beban organik yang tinggi terutamanya dari industri berasas minyak sawit seperti oleo chemical, asas sabun, biodiesel dan kilang berasas makanan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan S Gopalakrishnan (PH-Tiram) mengenai pencemaran Sungai Kopok pada Mesyuarat Pertama (Pembukaan Rasmi) Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor ke-14 di sini hari ini.
Chen Choon (PH-Jementah) berkata, walaupun semua kilang tersebut dilengkapi dengan loji pengolahan efluen, namun masih terdapat segelintir yang cuai dalam mengawal pelepasan dari premis sehingga menyebabkan efluen dilepaskan tanpa diolah terlebih dahulu.
Katanya, siasatan terperinci ke atas semua punca yang disyaki melepaskan efluen terus dijalankan dan tindakan-tindakan penguatkuasaan.
"Seperti perintah penahanan operasi kelengkapan, notis arahan, kompaun dan tindakan mahkamah akan diambil sekiranya berlaku pelanggaran di bawah mana-mana peruntukan seksyen di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Peraturan-Peraturan di bawahnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!