Ambil perhatian kebajikan pemain, jurulatih Kelantan

Yusri che lah
Yusri che lah
A
A
A

PENGURUSAN baharu Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) yang akan dipilih pada Kongres Agung Luar Biasa (EGM) persatuan terbabit hari ini diminta mengambil perhatian terhadap kebajikan pemain dan barisan kejurulatihan pasukan Kelantan terutama dari aspek tunggakan gaji.

Ketua jurulatih Kelantan, Yusri Che Lah berkata, walaupun isu tunggakan gaji adalah satu isu sensitif namun beliau harus membela pemain kerana rata-rata masih tidak menerima bayaran gaji dalam tempoh hampir tiga bulan.

"Bukan saya meminta kelebihan dari segi apapun namun sebagai manusia saya perlu membela pemain beraksi malam ini (Jumaat malam) tanpa dibayar gaji dua bulan setengah namun apabila dinilai dengan keinginan mereka (pemain) seolah-olah dibayar setiap bulan.

"Begitu juga ada dalam kalangan kami (jurulatih) masih lagi tidak menerima gaji hampir tiga bulan namun mereka hadir ke tempat latihan tanpa jemu dan tanpa alasan," katanya pada sidang media selepas perlawanan Liga Premier menentang Selangor United di Stadium Sultan Muhammad lV di sini, malam tadi.

Pada perlawanan tersebut pasukan Kelantan berjaya menewaskan Selangor United 2-0 hasil jaringan penalti Nik Akif Syarihan Nik Mat pada minit ke-45 dan Nik Azli Nik Alias minit ke-50

Yusri berkata, dengan keadaan yang dialami pemain, beliau berterusan memberikan motivasi supaya pemainnya terus bersemangat kerana hanya kemenangan dapat membantu pasukan untuk terus bersaing di Liga Premier musim depan.

"Pemain sanggup melakukan sesuatu untuk pasukan malah ada yang tidak sihat sanggup memberikan komitmen kepada pasukan menawarkan diri untuk diturunkan malam ini.

"Mereka telah memberikan jiwa walaupun tidak sihat, saya rasa jika saya ingin menangis kerana pemain saya yang cukup berdedikasi dan komitmen," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya beliau amat yakin sekiranya pengurusan baharu Kafa menjaga dengan baik pemain muda Kelantan, pemain-pemain itu akan mampu mengembalikan imej pasukan di kancah Liga Malaysia (Liga-M).

"Kerjayaan pasukan melalui pemain muda ketika ini tidak terhasil dalam tempoh satu dua tahun dan tidak salah pengurusan baharu dengan manifesto dan keyakinan baharu menjaga pemain ini yang rata-rata berumur 20 sehingga 21 tahun yang perlu banyak belajar untuk membawa kejayaan kepada pasukan," katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!