Polis berhati-hati laksana rundingan bawa balik Jho Low

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya sedang berhati-hati dalam melakukan rundingan dengan pihak berkuasa di mana ahli perniagaan, Low Taek Jho atau Jho Low bersembunyi.

Menurutnya, gerak kerja membawa balik Jho Low memerlukan usaha yang begitu teliti dan terpaksa dilakukan dengan penuh berhati-hati dan cermat supaya tidak tersilap langkah.

Menurutnya, perkara itu juga supaya pihak berkuasa terbabit tidak berasa seolah-olah Malaysia sedang menekan negara itu.

"Perundingan sedang berjalan dan Insya-ALLAH, saya rasa pihak berkuasa negara di mana Jho Low bersembunyi itu faham tentang keperluan Malaysia untuk membawa balik dia bagi menghadapi pertuduhan atau proses undang-undang," katanya pada sidang media selepas Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan bersama Warga PDRM di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Jho Low dibawa balik dalam masa terdekat

Selain Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad, turut memeriahkan majlis Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sementara itu, ketika ditanya media tempoh waktu Jho Low dapat dibawa balik ke Malaysia, Abdul Hamid memberitahu, tidak ada tempoh masa ditetapkan.

"Tak ada tempoh masa tetapi kes ini dah berlarutan, dah berkumandang sejak empat tahun lalu, jadi (tempoh) kalau saya cakap sebulan, dua bulan itu masih dikira pendek lagi (berbanding dengan empat tahun)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Mei lalu, Abdul Hamid memberitahu media, polis sudah menemui petunjuk positif dalam gerakan memburu Jho Low yang gagal dikesan sejak 2015.

Ketika itu, Abdul Hamid juga memaklumkan pihaknya akan membawa balik Jho Low yang terlibat dengan penyelewengan dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dalam masa terdekat.

Sebelum ini, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat mendakwa sekurang-kurangnya AS$ 4.5 bilion telah disalahgunakan daripada 1MDB.

Jho Low dituduh sebagai dalang transaksi wang haram yang disalurkan dari syarikat pelaburan negara itu.

Ahli perniagaan kelahiran Pulau Pinang itu didakwa di Amerika Syarikat dan Malaysia.

Dia bagaimanapun enggan kembali ke Malaysia dengan mendakwa tidak akan mendapat perbicaraan adil di negara ini, selain mengelak daripada tindakan oleh pihak berkuasa AS.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!