'Pemimpin parti Melayu patut sambut baik seruan Tun M'
KUALA LUMPUR - Pemimpin-pemimpin parti Melayu wajar menyambut baik saranan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad agar menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atas semangat perpaduan kaum terbesar di negara ini.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat senada dengan Dr Mahathir berkata, pelbagai pendekatan boleh diambil semua pihak dalam usaha penyatuan tersebut.
“Seruan yang baik. Apa pun kita mahu supaya adanya semangat perpaduan yang di pupuk dalam kalangan orang-orang Melayu.
ARTIKEL BERKAITAN: Melayu berpecah macam mana nak menang?
'Lebih baik Tun M, Bersatu sertai Pas-UMNO'
Syed Saddiq pelawa Khairy masuk Bersatu
“Jadi saya kira seruan itu adalah berpatutan dan diharapkan pimpinan-pimpinan lain menyambut apa yang telah dikemukakan oleh Dr Mahathir,” katanya pada sidang media sempena Majlis Hari Raya Aidilfitri Menteri Wilayah Persekutuan Bersama Warga Polis Diraja Malaysia (PDRM), di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini hari ini.
Ditanya mengenai saranan Pas yang berpandangan lebih wajar sekiranya Dr Mahathir dan Bersatu bersama dengan Pas dan UMNO dalam agenda muafakat perpaduan ummah yang sedang diusahakan masa kini, Muhyiddin menyifatkan perkara itu boleh dibincangkan.
“Tak apalah kalau satu peringkat ada persefahaman mereka mungkin hendak bertemu... ini bukan saja seruan tetapi duduk berbincang bagaimana pendekatan yang boleh diambil untuk menyatupadukan... itu langkah-langkah berikutan yang perlu dilaksanakan.
“Tapi setakat ini reaksi yang saya dengar berbagai-bagai. Itu biasalah tapi mungkin apa yang disebutkan Dr Mahathir sebagai satu pernyataan ikhlas, tidak menyebut mana-mana parti politik, dia seru supaya persatuan dan perpaduan itu dapat dijalinkan mungkin mengambil sempena semangat Aidilfitri yang dirayakan,” tambahnya.
Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu sebelum ini mempelawa semua parti politik Melayu termasuk UMNO menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.
Menurutnya, penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti kerana tamakkan kedudukan.
Perkara itu menimbulkan pelbagai reaksi termasuk daripada Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang bersetuju dengan kenyataan Dr Mahathir bahawa orang Melayu sudah berpecah dan berkecamuk.
Bagaimanapun pada masa sama, Muhammad Khalil berpandangan sebaliknya berhubung penyatuan di bawah Bersatu dengan menyarankan Dr Mahathir serta seluruh parti itu bersama Pas dan UMNO yang sudahpun memulakan agenda perpaduan ummah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!