Suami terkilan kematian isteri dimanipulasi

A Bakar tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan punca kematian isterinya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan dengan isu pencemaran Sungai Kim Kim.
A Bakar tidak dapat menahan sebak ketika menceritakan punca kematian isterinya apabila ada pihak yang mengambil kesempatan dengan isu pencemaran Sungai Kim Kim.
A
A
A

PASIR GUDANG - Dakwaan kematian seorang wanita dikenali Marini Kasman, 38, yang didakwa menjadi korban pertama insiden pencemaran Sungai Kim Kim, di sini, adalah tidak benar.

Perkara itu dinafikan suaminya, A Bakar Abd Rahman, 47, yang turut kecewa berita sedih dia dan ahli keluarganya itu telah dijadikan bahan pihak tidak bertanggunjawab untuk kepentingan tertentu.

Menurutnya, isterinya yang disahkan meninggal dunia, jam 4 pagi semalam itu dimaklumkam hospital kerana kegagalan jantung dan bukan disebabkan bahan kimia.

“Arwah isteri saya memang ada sakit, sebelum ini dia juga menghidap darah tinggi. Sebelum meninggal dunia doktor juga ada maklumkan yang paru-paru isteri saya sudah dimasuki air dan kurang oksigen.

“Dia juga telah dikejarkan ke hospital malam itu (5 Julai) dengan ambulan kerana mengadu sesak nafas sebelum disahkan meninggal dunia jam 4 pagi,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Cahaya Masai di sini hari ini.

A Bakar berkata, maklumat mengenai kematian isterinya itu juga dikatakan telah dimanipulasi pihak tertentu dan dipercayai ketika dia ditanya pelbagai pihak semasa menguruskan jenazah isterinya.

“Saya terkilan kerana ada pihak sanggup buat begini di saat saya hilang seseorang paling dekat dengan saya, ketika itu semestinya saya sedikit beremosi dan tidak boleh menahan pelbagai perasaan.

“Jika ada kesilapan, saya minta maaf tetapi kenyataan saya bukan seperti itu, kenapa mesti ambil kesempatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Bapa kepada seorang cahaya mata berusia tujuh tahun itu juga memaklumkan akibat daripada penularan berita palsu tersebut dirinya telah dipanggil polis untuk membantu siasatan.

“Perkara ini (berita kematian isteri) mula disedari saya pagi tadi, semuanya maklum isteri saya meninggal dunia kerana pencemaran Sungai Kim Kim. Disebabkan perkara ini juga saya telah dipanggil oleh polis untuk berikan keterangan lagi.

“Saya minta sangat berita ini dihentikan, saya tidak mahu perkara ini jadi lebih panjang dan tidak reda jika kuburnya pula perlu digali,” katanya.

Dia juga berharap pihak berkuasa dapat menjalankan siasatan sekali gus mengambil tindakan kepada pihak yang sengaja menimbulkan isu ini.

“Saya agak kesal dengan perkara seperti ini, diharapnya pihak polis dapat mengambil tindakan kepada mereka yang bertanggungjawab menularkan perkara tidak benar ini.

“Untuk bersihkan nama baik keluarga saya, saya juga akan membuat laporan polis untuk membolehkan tindakan diambil,” katanya.

Hari ini tular di laman sosial Facebook mendakwa Marini meninggal dunia kerana mendapat kesan daripada pencemaran Sungai Kim Kim pada Mac lalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!