FAMA Kedah kumpul 30 tan buah bermusim
SUNGAI PETANI - Sekurang-kurangnya 30 tan buah-buahan bermusim dikumpul sempena Hari Bertemu Pelanggan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) pada 13 dan 14 Julai depan.
Pengarah FAMA Kedah, Anuar Mohamed berkata, dengan harga ditawarkan antara lima hingga dua puluh peratus lebih rendah dari harga pasaran, penganjuran itu dijangka akan menjadi tumpuan warga utara mendapatkan buah-buahan segar dari ladang.
Menurutnya, program yang diadakan peringkat negeri di Pusat Operasi FAMA Sungai Petani itu disertai kira-kira 30 usahawan.
"Kita mengalu-alukan orang ramai untuk datang dan memeriahkan program pada Sabtu dan Ahad depan bagi mendapatkan buah-buahan segar dengan harga lebih rendah dari pasaran," katanya ketika hadir ke Program Dusun Dalam Pekan @ Pasar Tani Sungai Petani hari ini.
Hadir sama Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Muda, Rozaimie Abd Rahim, Pegawai FAMA Kuala Muda, Mohd Fauzi Hashim, Pegawai Perpaduan Daerah, Mohd Fakhzan Nasir dan Penaung Persatuan Kebajikan Pasar Tani Sungai Petani, Datuk Shahanim Mohamad Yusoff.
Sementara itu, Rozaimie berkata, seramai 25 murid B40 diraikan dengan hidangan buah-buahan termasuk buah durian sempena Dusun Dalam Pekan adalah inisiatif baik menyantuni golongan berkenaan.
Dalam program itu, pelanggan turut diberi peluang menikmati buah-buahan yang dibeli di pasar tani melalui konsep 'pilih, timbang, bayar dan makan' tanpa perlu membawa pulang ke rumah.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!