Penduduk rayu bantuan baik pulih rumah

Penduduk dengan bantuan saudara-mara membaiki kerosakan bumbung akibat ribut Jumaat lalu.
Penduduk dengan bantuan saudara-mara membaiki kerosakan bumbung akibat ribut Jumaat lalu.
A
A
A

HULU SELANGOR - Penduduk yang terjejas selepas rumah mereka mengalami kerosakan akibat ribut pada petang Jumaat di Felda Soeharto memulakan kerja baik pulih hari ini.

Namun bagi rumah yang mengalami kerosakan teruk didapati tidak berbuat demikian kerana melibatkan kos tinggi.

Seorang penduduk, Abdul Manap Shaari, 55, berkata, lebih 70 peratus daripada keseluruhan rumahnya rosak membabitkan bahagian bumbung dan dinding.

Menurutnya, dia tidak memulakan kerja baik pulih berikutan belum menerima sebarang kata putus daripada kerajaan negeri berhubung bantuan tersebut.

Penduduk tidak dapat membuat kerja baik pulih kerana melibatkan kos tinggi selain menunggu bantuan kerajaan.
Penduduk tidak dapat membuat kerja baik pulih kerana melibatkan kos tinggi selain menunggu bantuan kerajaan.

"Semalam Menteri Besar Selangor ada datang tapi tiada beritahu mengenai bantuan baik pulih sama ada kontraktor akan buat atau penduduk kena buat sendiri dulu.

"Nak buat sendiri pun kos tinggi dan saya anggar lebih RM15,000 diperlukan kerana hampir seluruh bumbung rosak.

Artikel Berkaitan:

"Kalau tak dapat bantuan duit, saya harap kerajaan dapat sediakan tabung pinjaman untuk tampung kos baiki supaya kami dapat bayar secara ansuran bulanan," katanya kepada Sinar Harian.

Seorang penduduk yang juga asnaf Lembaga Zakat Selangor (LZS), Aziman Abdul, 49, berkata, kerja baik pulih perlu dilakukan segera bagi mengelak kerosakan lebih teruk memandangkan cuaca hujan lebat pada sebelah petang

Menurutnya, air hujan bertakung di syiling dan lantai rumah apabila bahagian bumbung hadapan dan tengah diterbangkan angin kuat.

"Rumah kayu lama sudah runtuh dan LZS beri bantuan sebanyak RM25,000 untuk baik pulih pada tahun lepas.

Rumah Abdul Manap antara 21 kediaman yang rosak teruk akibat ribut.
Rumah Abdul Manap antara 21 kediaman yang rosak teruk akibat ribut.

"Bumbung hadapan ini baharu tiga bulan lepas buat dengan kos RM1,900 dan sekarang tak boleh guna sebab semuanya sudah tercabut.

"Dalam dua hari ini sudah RM500 habis, baiki mana yang boleh dulu sebab bila hujan, bahagian syiling pula melengkung," katanya.

Aziman yang berniaga seluar sukan di pasar malam berkata, dia bersama isteri, Rosiah Yunus, 50, dan tiga anak terpaksa tidur di ruang tamu buat sementara waktu.

Menurutnya, kos kerugian dianggarkan hampir RM5,000 dan berharap agar kerajaan negeri dan Felda dapat membantu penduduk terjejas.

"Kami menerima bantuan zakat RM500 sebulan dan tiga daripada empat anak masih bersekolah dengan yang bongsu di sekolah tahfiz di Behrang," katanya.

Sementara itu Pegawai Daerah Hulu Selangor, Musa Ranli berkata, kemaskini laporan bencana mendapati sebanyak 127 rumah terjejas akibat ribut di tanah rancangan tersebut.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut sebanyak 21 rumah mengalami kerosakan teruk manakala selebihnya kerosakan sederhana dan kecil.

"Menteri Besar, Amirudin Shari telah melawat mangsa semalam dan mengumumkan bantuan segera maksimum sebanyak RM500 kepada setiap keluarga.

"Esok akan diadakan mesyuarat jawatankuasa tindakan bencana daerah sebelum memutuskan penyelesaian paling praktikal bagi membantu meringankan beban mangsa.

"Agensi terlibat juga diarahkan turun lakukan bancian dan siapkan laporan kerugian di semua 127 rumah sebelum saya bentangkan kepada kerajaan negeri Khamis ini," katanya.

Bumbung hadapan rumah didiami Aziman diterbangkan angin kuat akibat ribut.
Bumbung hadapan rumah didiami Aziman diterbangkan angin kuat akibat ribut.

Beliau berkata, sehigga hari ini mangsa yang ditempatkan di pusat pemindahan di Dewan Semai Bakti Felda Soeharto kekal seramai 12 orang daripada empat keluarga.

Menurutnya, mangsa rumah yang mengalami kerosakan sederhana dan kecil didapati memulakan kerja baik pulih kediaman masing-masing.

"Pada hari kejadian, tindakan bantuan disalurkan segera beberapa agensi seperti bomba sukarela, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Tenaga Nasional Berhad, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan sukarelawan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!