Kelar utamakan aspek perpaduan

Sebahagian daripada lebih 300 ahli dan keluarga Kelar yang hadir memeriahkan majlis ramah mesra itu hari ini.
Sebahagian daripada lebih 300 ahli dan keluarga Kelar yang hadir memeriahkan majlis ramah mesra itu hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kelab Anak Rompin Di Perantauan (Kelar) sentiasa mendokong aspek perpaduan dan penyatuan masyarakat terutamanya dalam pertubuhan itu sendiri.

Presidennya, Mohd Herman Awang berkata, asas awal dan utamanya penubuhan NGO berkenaan adalah untuk menyatukan warga perantau Rompin yang berada di merata tempat di negara ini di bawah satu bumbung.

Jelas beliau, Kelar berjaya memainkan peranannya sejak ditubuhkan 3 tahun lalu sebagai platform penyatuan dan perpaduan anak perantau Rompin melalui pelbagai aktiviti.

"Matlamat asal Kelar adalah untuk mengumpulkan seberapa ramai anak perantau Rompin tanpa mengira perbezaan latar belakang, ideologi politik dan sebagainya di bawah satu payung perpaduan.

"Alhamdulillah setakat ini komuniti Kelar berjaya menunjukkan semangat penyatuan melalui pelbagai aktiviti membabitkan ahli-ahlinya," kata beliau yang ditemui pada majlis ramah mesra Kelar di sebuah hotel di Glenmarie hari ini.

Majlis jamuan makan yang dibuat bersempena mood Aidilfitri itu telah dihadiri oleh lebih 300 ahli Kelar dan keluarga masing-masing.

Menurut Mohd Herman lagi, penganjuran majlis mesra itu merupakan salah satu tradisi yang berkesinambungan dan membuktikan semangat ukhwah dalam kalangan ahli begitu utuh.

"Saya ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam penganjuran majlis hari ini terutamanya mereka yang memberikan sumbangan untuk menjayakannya.

Artikel Berkaitan:

"Insya-ALLAH saya berdoa semoga apa yang menjadi asas kekuatan Kelar iaitu semangat perpaduan dan penyatuan ini akan berkekalan demi nama baik Rompin dan negeri Pahang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!