Raja Puan Muda Kedah melawat bayi terbuang di HSB

Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff (dua, kiri) menyampaikan bantuan berupa susu tepung, lampin pakai buang dan pakaian bayi kepada Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Dr Sarimah Sudin (dua, kanan) ketika berkenan berangkat melawat bayi lelaki yang dibuang di tepi Jalan Jelai pada Rabu lalu yang kini di dalam Wad Penjagaan Intensif Untuk Bayi (NICU) HSB hari ini. - Foto BERNAMA
Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff (dua, kiri) menyampaikan bantuan berupa susu tepung, lampin pakai buang dan pakaian bayi kepada Timbalan Pengarah Perubatan Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Dr Sarimah Sudin (dua, kanan) ketika berkenan berangkat melawat bayi lelaki yang dibuang di tepi Jalan Jelai pada Rabu lalu yang kini di dalam Wad Penjagaan Intensif Untuk Bayi (NICU) HSB hari ini. - Foto BERNAMA
A
A
A

ALOR SETAR - Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff hari ini berkenan berangkat menziarah bayi lelaki yang dibuang di tepi Jalan Jelai di sini Rabu lepas, yang kini ditempatkan di wad penjagaan intensif untuk bayi (NICU) Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).

Keberangkatan tiba Raja Puan Muda Kedah ke NICU disambut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pembangunan Luar Bandar, Agama dan Syarikat Berkaitan Kerajaan Negeri, Datuk Dr Ismail Salleh serta Timbalan Pengarah Perubatan HSB, Dr Sarimah Sudin.

Raja Puan Muda Kedah meluangkan masa kira-kira 40 minit bersama bayi itu serta para doktor dan jururawat sebelum menyampaikan bantuan berupa susu tepung, lampin pakai buang dan pakaian kepada pihak hospital.

Menerusi kenyataannya, Che Puan Muda Zaheeda berharap bakal ibu yang menghadapi masalah agar mendapatkan saluran bantuan yang betul bagi mengelak berlakunya kejadian buang bayi berulang.

Baginda turut menasihatkan agar mereka yang terjejas dapat menghubungi Talian Kasih 15999 yang disediakan kerajaan demi menjaga kebajikan dan keselamatan bayi yang tidak berdosa.

Sementara itu, Dr Ismail berharap masyarakat sekeliling dapat mengambil iktibar dari kes yang berlaku dan terus meningkatkan pendedahan pendidikan seks dalam kalangan pelajar.

“Raja Puan Muda Kedah turut menekankan peranan keluarga dalam mendidik anak selain perlunya menitikberatkan pendidikan agama, malah mereka harus diberikan pengetahuan mengenai pendidikan seks agar kejadian ini dapat dibendung.

“Inilah yang diluahkan oleh Tuanku kerana baginda sangat prihatin dengan isu ini,” katanya kepada pemberita selepas mengiringi Che Puan Muda Zaheeda berangkat pulang.

Artikel Berkaitan:

Rabu lepas, seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui masih hidup dan bertali pusat, di dalam kotak di tepi jalan berdekatan sebuah sekolah rendah di sini, pada 8.20 pagi.

Bayi itu ditemui seorang lelaki berusia 40 tahun, kira-kira 100 meter dari Sekolah Kebangsaan Darul Hikmah, Jalan Jelai. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!