Di sebalik pelawaan Tun Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
Tun Dr Mahathir Mohamad - Foto Bernama
A
A
A

APABILA Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Perdana Menteri membangkitkan kebimbangan mengenai perpecahan orang Melayu dan mempelawa UMNO menyertai parti itu, banyak pula komen daripada pemimpin kerajaan dan pembangkang.

Bagi pihak pembangkang, sudah pasti mereka tidak setuju dengan pelawaan tersebut.

Mereka menilai Bersatu masih baharu dan memiliki ahli yang sedikit berbanding UMNO yang sudah melalui pelbagai pengalaman serta rintangan. Sudah tentulah parti yang kecil akan ikut parti besar.

Bagi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, parti itu tidak akan sertai Bersatu. Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan juga senada dengan Presiden apabila menyifatkan UMNO sudah tawar hati dengan parti serpihan yang keluar daripada UMNO. Kenyataan mereka amat jelas.

Kenyataan Dr Mahathir itu kemudian dibalas Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Muhammad Khalil Abdul Hadi yang mempelawa Perdana Menteri untuk sertai gabungan UMNO dan Pas.

Namun reaksi yang amat mengejutkan apabila bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjadi satu-satunya ahli UMNO yang mengeluarkan kenyataan berbeza.

“Ambil positif dulu kerana bagi saya niatnya adalah betul sebagai seorang ayahanda dan ahli negarawan,” kata Khairy.

Merujuk kenyataan Khairy itu, Ketua Armada Bersatu, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula mempelawa Khairy untuk menyertai Bersatu. Nampaknya polemik politik Melayu seperti berbalas-balas pantun.

Artikel Berkaitan:

Apa pun polemik, mungkin ramai tidak sedar bahawa apabila Dr Mahathir dipelawa sertai UMNO-Pas semula dan Khaiy dipelawa masuk Bersatu, ia menunjukkan kedua-dua parti itu sebenarnya saling menerima antara satu sama lain.

Walaupun mungkin ada yang tidak setuju dengan kenyataan Dr Mahathir, tapi apabila diamati betul-betul isu yang harus difikirkan ialah survival politik dan kuasa Melayu. Semua orang ada hak untuk menyatakan pandangan masing-masing. Namun melihat kepada senario sekarang, orang Melayu di Malaysia sebenarnya dahagakan satu bentuk penyatuan.

Mungkin sudah sampai masanya UMNO, Pas dan Bersatu duduk semeja membincangkan hala tuju Melayu.

Bak kata Dr Mahathir: “Nak kuatkan orang Melayu kena lupakan perselisihan antara kita. Hari ini oleh kerana Melayu berpecah maka kita sudah tak kuat seperti dulu.”

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!