Kerana pulut santan binasa

A
A
A
MUSIM durian bermula lagi di kebanyakan tempat di seluruh negara.

Durian jika dipadankan dengan pulut pasti menjadi juadah yang enak. Akan tetapi jika pulut itu terlebih santan, keenakan pulut durian tiada lagi kerana pulut menjadi terlalu lembik. Begitu juga halnya terjadi jika kita bercakap ikut sedap mulut...Peribahasa diketengahkan pada minggu ini menggambarkan pelbagai kesan dan tanggapan yang tercetus akibat komunikasi. Dalam era kemajuan teknologi digital masa kini, ‘badan binasa’ bukan sahaja disebabkan oleh mulut tetapi oleh jari jemari yang lincah di papan kekunci.

Peribahasa itu memberi peringatan kepada kita bahawa ungkapan perkataan yang tidak baik mengakibatkan bencana kepada diri sendiri mahupun orang lain.

Bencana itu ada kalanya berpanjangan dan rumit untuk dirungkai.

Dalam zaman moden ini, mesej mudah tular dalam jangka waktu yang singkat. Apa sahaja yang tercetus daripada mulut seseorang atau jari jemari di papan kekunci dengan mudah diketahui umum. Jika lisan atau tulisan itu tidak disenangi oleh individu lain, ia sukar ditarik kembali, mungkin melukakan hati dan menyinggung perasaan orang lain.

Hal ini akan lebih memburuk jika mesej disalah tafsir. Kebinasaan juga semakin ketara jika individu terlalu teruja atau terlalu beremosi sehingga menyebabkan tujuan asal berkomunikasi tersasar. Akibat kesilapan kecil dalam berkomunikasi, pelbagai konflik antara perorangan sama ada dalam kehidupan peribadi atau kerjaya mungkin akan timbul.

Umum mengakui bahawa komunikasi adalah aktiviti penting dalam kehidupan manusia dan kebanyakan masa dihabiskan dengan berkomunikasi. Kita berhubung antara satu sama lain untuk menyampaikan atau menerima maklumat, luahan perasaan, mempengaruhi orang lain dan seumpamanya.

Komunikasi menjadi nadi kepada kewujudan, perkembangan dan kejayaan sesebuah organisasi.

Oleh yang demikian, adalah penting bagi kita memahami kebaikan dan keburukan cara berkomunikasi yang diamalkan.
Artikel Berkaitan:


Komunikasi sebenarnya membawa pelbagai tanggapan berbeza kepada individu yang berbeza.

Pengurus perlu memahami dalam era masa kini, komunikasi berbentuk arahan keras semata-mata tidak lagi berkesan untuk menimbulkan rasa taat dan hormat dalam kalangan pekerja.

Andaian bahawa penggunaan kata-kata sopan dan lemah lembut akan menyebabkan pekerja memijak kepala pengurus dan kerja menjadi lambat adalah salah.

Kekerasan seorang pengurus semasa memberi arahan kepada pekerjanya boleh menyebabkan ketaatan berbentuk sementara.

Justeru, apabila pengurus tiada di pejabat, suasana di situ dapatlah digambarkan sebagai kucing pergi, tikus menari-nari! Pekerja akan berasa tenang dan hilang stres kerana dapat ‘berehat’ sebentar tanpa komunikasi berbentuk arahan yang menggugat perasaan.

Jika pekerja berseronok dan berasa lega dengan ketiadaan pengurus, ia petanda bahawa pengurus atau pemimpin mungkin bermasalah dalam berkomunikasi dan kepimpinannya.

Terdapat juga individu yang gemar menangguk di air keruh atas doktrin kebebasan bersuara dan berkomunikasi. Mereka ada ketikanya mereka-reka cerita, bukan melaporkan apa yang benar.

Tambah mengharu-birukan keadaan adalah apabila tiada pihak mahu bertanggungjawab ke atas maklumat palsu yang tersebar itu.

Kajian pengurusan dan kelakuan organisasi menunjukkan pelbagai masalah sumber manusia tercetus dalam organisasi adalah disebabkan oleh masalah komunikasi. Kajian juga menunjukkan perhubungan baik antara pengurus dan pekerja memainkan peranan penting dalam menjamin kelancaran tugas dan membentuk komunikasi harmoni. Komunikasi sebegini akan menghasilkan persefahaman yang baik dan meminimumkan konflik dalam organisasi.

Isu komunikasi dalam organisasi tidak boleh diremehkan dan ia antara jalan penyelesaian terbaik kepada banyak permasalahan yang berlaku dalam organisasi. Kejayaan sesebuah komunikasi banyak bergantung kepada hati dan jiwa pihak yang berkomunikasi.

Tanpa pergantungan ini, tentunya pulut akan terus dikatakan penyebab binasanya santan. Hakikatnya, kedua-duanya saling melengkapi dan bertanggungjawab dalam menghasilkan juadah yang menyebabkan kita kecur air liur...

Kekerasan seorang pengurus semasa memberi arahan kepada pekerjanya boleh menyebabkan ketaatan berbentuk sementara."

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!