Jauhi 'zina' hati
SERINGKALI kita dengar kata-kata begini: "Rambut sama hitam, tetapi hati lain-lain."
Ya, manusia ada pelbagai jenis hati dan tiada sesiapa yang tahu apakah yang terkandung dalam hati kita kecuali ALLAH SWT.
Sebab itulah kita perlu menjaga hati kita sebaiknya agar terhindar daripada perkara yang dilarang syarak terutama apabila berkait dengan hal 'zina' hati.
Pendakwah Ustaz Bakhtiar Fitri Abdul Hamid berkata, 'zina' hati amat berbahaya kerana ia merupakan bibit-bibit awal 'zina' yang akhirnya akan membawa kepada perbuatan zina.
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya ALLAH telah menetapkan bahagian 'zina' untuk setiap anak Adam, dia akan mendapatkannya dan tidak boleh dihindari, maka 'zina' mata dengan melihat, 'zina' lidah dengan ucapan, 'zina' hati dengan membayangkan dan merasakan syahwat, sedangkan kemaluan membenarkan semua itu atau mendustakannya." (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Kata Ustaz Bakhtiar Fitri, berdasarkan hadis itu, ulama menyatakan, 'zina' hati berlaku apabila:
1. Berharap.
2. Membayangkan.
3. Merasakan syahwat.
"Membayangkan aurat sehingga merangsang syahwat dan berharap berdua-duaan yang akhirnya membawa kepada zina.
"Disebabkan itu, segala perlakuan yang boleh membawa zina, hukumnya ialah haram seperti berbual, bermesej atau WhatsApp yang bukan keperluan, melihat gambar ajnabi, gambar seks dan menonton video lucah," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi ciapan di Twitter miliknya baru-baru ini.
Bagaimana pula kalau kita minat atau rindukan seseorang yang berlainan jantina? Jelas agamawan itu, minat dan rindu seseorang itu tidak salah kerana ia fitrah manusia.
"Namun, jangan sampai obses hingga minat dan rindu yang membawa kepada 'zina' hati.
"(Jangan sampai) melebihkan manusia daripada cinta ALLAH, melebihkan orang luar berbanding ayah ibu dan keluarga," ujarnya.
Beliau berpesan: "Jika minat (dengan seseorang), nyatakan niat untuk bertunang dan berkahwin mengikut syariat serta adat Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum.
"Jika rindu, doa agar ALLAH jaga dan berharap ALLAH permudahkan urusan perkahwinan. Jangan jadikan rindu sebagai alasan untuk berbual dan berjumpa. Takut berlaku 'zina' hati dan akhirnya membawa kepada 'zina' kemaluan.
"Sebab itulah bila berkawan lelaki (dan) perempuan, pastikan ada matlamat untuk mendirikan rumah tangga. Bukan suka-suka. Haram hukumnya," tegas beliau.
Bagi yang tidak mampu untuk berkahwin tetapi sukar untuk mengawal nafsu, Ustaz Bakhtiar Fitri memberikan panduan berdasarkan apa yang dianjurkan oleh Nabi Muhammad SAW:
1. Berpuasa.
2. ALLAH memerintahkan supaya tundukkan pandangan dan menjaga maruah diri.
3. Kawal perhubungan dengan mengelakkan percampuran antara lelaki dan perempuan yang tidak perlu.
Semoga ALLAH terus pelihara kita daripada dosa dan maksiat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!