Malaysia kaji tingkat bantuan pelarian Rohingya di Bangladesh

Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada etnik Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar.
Saifuddin menyampaikan sumbangan kepada etnik Rohingya di kem pelarian Cox's Bazar.
A
A
A

COX'S BAZAR, BANGLADESH - [DIKEMASKINI] Malaysia berhasrat untuk meningkatkan bantuan secara optimum bagi membantu 1.2 juta etnik Rohingya yang kini ditempatkan di kem-kem penempatan sementara di negara Bangladesh.

Menteri Luar Negeri, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, kerajaan akan mengkaji bantuan kemanusiaan supaya ia dapat memberi manfaat kepada etnik tersebut yang kini hidup dalam penderitaan dan kesengsaraan.

"Kita sedang lihat bantuan dari Malaysia yang boleh dilipat gandakan. Ia melibatkan aspek bantuan kemanusiaan, kita ingin memastikan bantuan yang disalurkan kepada etnik Rohingya ini dapat dioptimumkan.

"Ini kerana keamanan dunia sesuatu yang diidamkan oleh semua manusia dan sebagai rakyat Malaysia kita harus ke depan untuk membantu.

"Bangladesh telah lakukan sesuatu yang luar biasa dan disebabkan kita cintakan kedamaian jadi kita harus ke depan (menghulur bantuan).

"Bagaimanapun, oleh kerana ia melibatkan wang kerajaan dan rakyat, kita sebagai kerajaan harus mengkaji bagaimana setiap satu sen yang disampaikan mencapai matlamat kepada pelarian dan mereka mendapat manfaat paling optimum," katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Pada 7 Julai lalu, Saifuddin melakukan lawatan kerja dengan mengunjungi Hospital Medan Malaysia (MFH) dan beberapa kem pelarian di sekitar Cox's Bazar.

Saifuddin dalam kunjungan selama dua hari itu turut menemui rakan sejawatnya iaitu Menteri Luar Bangladesh, AK Abdul Momen.

Artikel Berkaitan:

Hasil pertemuan itu Malaysia telah bersetuju untuk bekerjasama dengan Bangladesh untuk menghantar pulang pelarian Rohingya ke Myanmar.

Dalam pada itu, Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Temerloh itu berkata, objektif Malaysia untuk tempoh jangka pendek dan sederhana ialah untuk membantu Bangladesh menampung kos pelarian tersebut.

"Malaysia akan berusaha sehabis baik untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelarian Rohingya," ujar beliau.

Tegas beliau, Rohingya kini berdepan krisis penghapusan etnik terbesar yang kejam dan Malaysia bertekad untuk mengembalikan maruah etnik tersebut semula.

"Malaysia akan mengadakan rundingan diplomatik berterusan dengan Myanmar untuk merealisasikan kepulangan Rohingya ke tanah air mereka kelak," ujarnya.

Sejak penghujung 2017, masyarakat Rohingya terpaksa melarikan diri selepas pemerintahan Myanmar melakukan pembunuhan dan pembersihan etnik Rohingya dan menjadikan Bangladesh sebagai destinasi berteduh dan meneruskan hidup.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!