Mat Sabu anggap pelawaan Tun M logik

Mohamad Sabu. - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
Mohamad Sabu. - FOTO SHARIFUDDIN ABDUL RAHIM
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden Amanah Mohamad Sabu menyifatkan pelawaan Perdana Menteri yang juga Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad supaya parti politik Melayu menyertai Bersatu suatu perkara yang logik.

Beliau yang juga merupakan Menteri Pertahanan berkata, mana-mana parti politik pasti mahu partinya menjadi lebih kuat, sama ada menerusi pertambahan jumlah ahli atau kerjasama politik.

“Itu pelawaan Mahathir sesuatu yang logik. Memanglah parti politik dia mahu partinya kuat, itu biasa. Itu hak ahli parti lainlah untuk (terima pelawaan)," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, ia terpulang kepada parti yang dijemput serta ahlinya sama ada mahu bersetuju dengan pelawaan Dr Mahathir atau sebaliknya.

“Apa pun, orang Melayu mesti ada kekuatan, terutamanya dalam Pakatan Harapan (PH) supaya kerajaan dibentuk seimbang dan dilihat lebih kuat pada masa akan datang.

“Petang ini kita (Majlis Presiden PH) akan bermesyuarat. Kita tak tahu itu (pelawaan Mahathir) akan dibincang atau tidak, tapi ahli bebas menyuarakan pandangan (dalam mesyuarat),” katanya.

Mohamad berkata, seruan supaya semua pihak, khususnya orang Melayu menyertai PH memang sedang giat diusahakan parti komponen gabungan politik itu, termasuk oleh beliau sendiri.

“Saya sendiri sedang berusaha, termasuk pergi ke kubu kuat Pas di Kedah misalnya, supaya mereka menyertai PH untuk terus kekal memerintah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai sokongan orang Melayu kepada PH, Mohamad berkata, jumlah itu bertambah selepas UMNO dan Pas secara rasmi bersama.

“Sokongan orang Melayu kepada PH semakin meningkat, terutamanya selepas sahnya ‘perkahwinan’ Pas dan UMNO,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!