Peniaga didakwa tipu jual barang kastam
SEREMBAN - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas dua pertuduhan menipu membabitkan kerugian RM1,600.
Tertuduh Mohd Nizam Ishak, 49, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Rahimah Rahim sebaik pertuduhan dibacakan.
Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memperdaya Muhammad Fikri Abdul Rahim, 30, dalam urusan menjual televisyen rampasan kastam tidak wujud dan mendorong mangsa memindahkan RM700 ke dalam akaun miliknya.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah premis di Jalan Rasah di sini, jam 2.34 petang pada 1 Februari lalu.
Bagi pertuduhan kedua, Mohd Nizam didakwa memperdaya Mohamad Nazri Abdullah, 53, dalam urusan menjual set komputer lelongan kastam yang tidak wujud dan mendorong mangsa menyerahkan RM900.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah restoran di Pantai, Jalan Jelebu di sini pada 1 November 2018.
Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih 10 tahun, sebat serta denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa, Asisten Superintendan Idora Omar manakala tertuduh diwakili peguam Muhamad Izwan Ishak.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,500 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan itu dan menetapkan 23 Julai ini untuk sebutan semula kes.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!