Pahang kesal insiden budak mati keracunan makanan

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

TEMERLOH - Kerajaan negeri melahirkan rasa kesal di atas insiden keracunan makanan yang berlaku di daerah ini sehingga menyebabkan seorang kanak-kanak perempuan meninggal dunia Isnin lalu.

Exco Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Pelajaran dan Kesihatan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, satu siasatan menyeluruh perlu dilakukan oleh pihak berkaitan untuk memastikan kes sama tidak berulang.

Menurutnya, perkara tersebut tidak seharusnya berlaku dan semua pihak perlu sama-sama bekerjasama memastikan aspek kebersihan makanan dapat diberikan keutamaan.

"Dalam isu ini saya menyambut saranan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang menasihatkan supaya jamuan tidak diadakan terlalu banyak tetapi cukup satu majlis yang dilakukan bersama pelbagai pihak kerana menjimatkan kos dan masa, selain memudahkan jabatan kesihatan melakukan pemantauan," katanya, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Syed Ibrahim berkata, aspek kebersihan makanan hendaklah sentiasa diberikan perhatian oleh pengendali makanan termasuklah semasa sesuatu majlis.

Katanya, pihak berkuasa khususnya jabatan kesihatan hendaklah sentiasa melakukan pemantauan berterusan bagi mengelakkan masalah keracunan makanan tidak berlaku lagi.

Sementara itu, Pengarah Kesihatan negeri, Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihak jabatan kesihatan negeri sentiasa bersedia melakukan pemantauan dan pemeriksaan setiap kali majlis jamuan diadakan.

Justeru beliau meminta orang ramai supaya memaklumkan kepada pejabat kesihatan daerah sekiranya ingin mengadakan jamuan dan sebagainya bagi memastikan pemeriksaan dapat dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Ahad lalu, Nursyasya Shauqina Roply, 10, dari Taman Bukit Mentakab bersama ahli keluarganya menghadiri sambutan Rumah Terbuka Aidilfitri di daerah ini dan dipercayai mengalami keracunan makanan.

Mangsa difahamkan meninggal dunia ketika berada di sisi ibunya, Juhazalina Mohamed, 39, yang turut menderita akibat sakit perut dan cirit birit berikutan keracunan makanan.

Murid Sekolah Kebangsaan Sultan Abu Bakar Mentakab itu dikebumikan di Tanah Perkuburan Batu Kapor pada 2 Julai lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!