Lelaki gagal larikan dua telefon, ditangkap pemilik

Suspek diserahkan kepada polis selepas berjaya ditangkap pemilik rumah di Kampung Kubang Batang.
Suspek diserahkan kepada polis selepas berjaya ditangkap pemilik rumah di Kampung Kubang Batang.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki bukan sahaja gagal melarikan dua unit telefon bimbit tetapi ditangkap pemiliknya selepas menceroboh masuk rumah penduduk di Kampung Kubang Batang, hari ini.

Dalam kejadian jam 7.10 pagi, lelaki berusia 42 tahun itu memberi alasan mencuri disebabkan terdengar bisikan halus menyuruhnya masuk ke rumah itu apabila disoal siasat penduduk kampung.

Sebelum itu, motosikalnya diletakkan di hadapan rumah mangsa dengan enjin dimatikan.

Bagaimanapun tindakan lelaki itu disedari pemiliknya, Nur Syazwani Mohammad, 27, yang berada dalam rumah bersama keluarga.

Nur Syazwani berkata, dia meninggalkan ruang tamu dengan pintu terbuka untuk mengambil kunci motosikal kerana mahu menghantar anak ke sekolah.

Katanya, ketika kejadian adik lelakinya, Mohd Syafiq, 25, tidur atas sofa di ruang tamu namun tidak sedar kehadiran lelaki itu.

"Terkejut saya apabila tiba-tiba ada seorang lelaki yang tak dikenali berada di ruang tamu sedang ambil dua telefon atas rak televisyen.

"Saya terus menjerit apabila dia tergesa-gesa keluar dari rumah sambil bawa lari telefon itu.

Artikel Berkaitan:

"Saya kejar sampai ke halaman rumah dan sempat menahan lelaki itu, nasib baik adik sedar dan bantu tangkap dia," katanya ditemui di rumahnya di sini.

Katanya, adiknya cedera di kaki kerana bergelut menangkap lelaki tersebut.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli mengesahkan kejadian tersebut.

Menurutnya, lelaki tersebut cuba mencuri dua unit telefon Samsung J5 dan JY Mini di rumah mangsa di kampung Kubang Batang.

Katanya, siasatan awal mendapati lelaki terbabit memiliki kad psikiatri serta mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah.

"Hasil pemeriksaan urin juga mendapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Suspek ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini hingga 10 Julai," katanya.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!