Isu elaun kritikal bomba dapat perhatian Agong, Sultan Perak
IPOH - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menzahirkan keprihatinan terhadap keperluan anggota bomba termasuk pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan yang sehingga kini belum dapat dimuktamadkan.
Perkara itu dikongsi Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin selepas memaklumkan perkara itu kepada kedua-dua baginda dalam pertemuan sebelum ini.
Menurutnya, baginda berdua amat bersetuju dengan usaha yang diambil kementerian dan merasakan ia masa yang tepat untuk meneliti setiap cadangan diberikan.
"Dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong untuk menyatakan pandangan mengenai keperluan anggota bomba, baginda sangat prihatin.
"Bersama Sultan Perak juga saya sebutkan perkara sama bahawa sudah sampai masanya mereka ini dinaik taraf dan diberikan perhatian teliti kerana kerja-kerja mereka ini bukan biasa-biasa.
"Alhamdulilah, baginda berdua prihatin dan amat bersetuju," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena pelancaran bangunan baharu Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak disempurnakan Sultan Nazrin di Meru Raya hari ini.
Berangkat mengiringi baginda ialah Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.
Turut berangkat, Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa; Raja Puan Besar, Raja Nazhatul Shima Sultan Idris Shah dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzulkarnain Sultan Idris Shah.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, pemberian elaun yang dijangka memberi manfaat kepada lebih 14,000 anggota bomba seluruh negara itu mungkin tidak dapat dilaksanakan tahun ini.
Katanya, selain menunggu kata putus daripada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, ada beberapa prosedur lain yang perlu dilihat termasuklah kedudukan kewangan negara.
"Ianya masih lagi dalam peringkat perbincangan dengan Perbendaharaan tentang bagaimana ia dapat dilaksanakan, tetapi daripada pandangan saya, tidak mudah untuk kita laksanakan tahun ini, jika dapat kita anggap satu bonus besar untuk pasukan bomba," katanya.
Bangunan baharu JBPM Perak yang dibina dengan kos RM17.6 juta mula dibina pada 12 September 2011 dan diserahkan secara rasmi pada April 2016.
Bangunan yang didirikan di atas tapak berkeluasan lebih 3.8 hektar itu dilengkapi dengan blok pentadbiran, dewan serbaguna, stor logistik, pondok pengawal, rumah sampah, rumah pam dan tempat letak kenderaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!