KUALA TERENGGANU - Seorang pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di daerah Dungun dipercayai menawarkan RM500 kepada seorang pelajar sekiranya mengikuti kemahuan seksnya. Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata, lelaki berusia 50-an itu dikatakan ada meminta mangsa berusia 19 tahun ke biliknya pada 23 Jun lalu sebelum dikatakan ada bercerita mengenai 'sugar daddy'. Katanya, suspek turut memaklumkan akan membayar RM500 setiap bulan kononnya sebagai bayaran jika mangsa mengikut kehendaknya sebelum mangsa menolak tawaran suspek. "Ketika mangsa mahu keluar dari biliknya, suspek bertindak memegang bahu dan cuba mencium mangsa namun gadis itu berjaya mengelak sebelum segera keluar dari bilik berkenaan. "Suspek sekali lagi meminta mangsa datang ke biliknya pada keesokan harinya (24 Jun) dan bertanya sama ada mangsa menerima tawarannya sebelum ini. "Susulan kejadian itu, mangsa yang bimbang keselamatan diri selain tidak mahu kejadian sama berlaku terhadap penuntut lain membuat laporan di Balai Polis Dungun pada 24 Jun lalu," katanya ketika dihubungi, di sini hari ini. Baharudin berkata, susulan laporan dibuat, suspek sudah ditahan dan dia kini dibebaskan dengan jaminan polis. Katanya, kertas siasatan akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut dengan kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul.