Lelaki mabuk pandu lawan arus di lebuh raya

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang pemandu sanggup mempertaruhkan nyawanya dengan memandu melawan arus dalam kejadian di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Bertam menuju ke Sungai Dua di sini pagi tadi.

Dalam kejadian jam 2.17 pagi, lelaki berusia 56 tahun yang baharu pulang minum dari sebuah kelab malam di kawasan Georgetown sepatutnya memandu pulang ke arah rumahnya di Bukit Tambun namun dia yang dipercayai berada dalam keadaan mabuk tersalah masuk laluan dari arah selatan menuju ke Tol Bertam.

Menyedari yang dia telah tersalah memasuki laluan, lelaki berkenaan bertindak nekad dengan membuat pusingan dan memandu melawan arus menunju ke Tol Sungai Dua.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, tindakan lelaki berkenaan yang memandu melawan arus dikesan oleh pusat pemantauan trafik PLUS sebelum memaklumkan kepada Pasukan Unit Rondaan Lebuhraya.

"Kereta jenis Produa Myvi yang dipandu lelaki berkenaan berjaya dikesan dan ditahan ketika sedang berhenti di lorong Smartag Tol Sg Dua.

"Pemandu kereta berkenaan dibawa balik ke Balai Trafik Kepala Batas untuk tindakan lanjut sebelum dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk diambil sample darah bagi ujian alkohol dan dadah," katanya ketika dihubungi di sini.

Noorzainy berkata, tindakan lelaki terbabit bukan sahaja berbahaya kepada dirinya sendiri malah boleh mengancam nyawa pemandu lain.

Katanya, pemandu terbabit kini ditahan untuk siasatan lanjut dibawah Seksyen 45A dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana disyaki memandu dalam pengaruh alkohol dan memandu secara melulu serta berbahaya.

Artikel Berkaitan:

Beliau turut meningatkan pemandu lain agar tidak memandu semasa dibawah pengaruh alkohol kerana boleh mendatangkan kemudaratan dan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.

"Semua pengguna jalan raya diingatkan supaya mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya yang telah ditetapkan bagi mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!