Ibu kandung Nur Dhiya Husna dicari
KOTA TINGGI - Sepasang suami isteri di Felda Aping Timur di sini meminta ibu kandung anak angkatnya agar tampil bagi membantu melancarkan proses pengambilan anak angkat secara sah di Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Hairul Azhar Mohd Diah, 30, berkata, anak angkatnya Nur Dhiya Husna kini berusia tiga bulan telah dijaga sejak hari pertama dilahirkan April lalu.
Menurutnya, ibu kandungnya merupakan warga Indonesia Eri Nurvitasari, 25, ketika menyerahkan bayi itu turut memesan agar menganggap anaknya seperti anak sendiri.
"Kami belum ada rezeki lagi untuk memiliki anak sendiri dan amat gembira bila ada kenalan memaklumkan ada seorang ibu yang mahu menyerahkan anaknya untuk dijaga.
"Nur Dhiya dilahirkan di Hospital Kota Tinggi (HKT). Dia kemudian dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana mengalami masalah pernafasan selama 11 hari.
"Ketika di HSI itulah kali terkahir kami berjumpa dengan ibu kandungnya kemudian kami tidak dapat menghubunginya sehingga sekarang," katanya kepada Sinar Harian.
Tambahnya, ibu kandungnya bersetuju untuk melakukan proses mengangkat sumpah penyerahan anak angkat namun tidak dapat dijalankan kerana ibunya gagal dikesan.
Jelasnya, dia difahamkan Eri Nurvitasari telah kembali ke kampung asalnya selepas melahirkan anaknya itu.
"Kami sudah anggap Nur Dhiya seperti anak kami sendiri. Kami telah berikan sepenuh kasih sayang kepadanya dan mahukan yang terbaik untuk hidupnya.
"Jadi kami berharap ibu kandungnya dapat tampil ke pejabat JKM daerah bagi melancarkan proses pengambilan anak angkat ini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!