UMNO dan BN tolak pelawaan Tun M
KUALA LUMPUR - Barisan Nasional (BN) dan UMNO menolak pelawaan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menyertai Bersatu.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, dasar penolakan itu kerana prinsip mereka yang tidak akan bekerjasama dengan mana-mana parti yang menjalin hubungan politik dengan DAP.
“Parti dan mana-mana pemimpin yang terus bersekongkol dengan DAP, UMNO dan BN tidak boleh terima. Jika DAP terus menguasai kerajaan yang ada sekarang ini.
“Apatah lagi DAP menterjemah agenda ‘Malaysian Malaysia’ yang tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN, ini adalah pendirian rasmi kami,” katanya ketika sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Zahid yang juga pengerusi BN berkata, gabungan pembangkang berlapang dada menerima realiti politik Malaysia.
Katanya, pelawaan Dr Mahathir itu juga tidak boleh diterima kerana Malaysia mempunyai pelbagai kaum.
“UMNO dan BN sentiasa berfikiran terbuka dan berlapang dada untuk menerima realiti politik di dalam apa juga situasi politik namun tawaran yang kita perolehi secara terbuka tidak dapat diterima oleh UMNO dan BN.
“Untuk menjaga perpaduan Islam dan Melayu, ia harus dilihat dalam konteks kemajmukan masyarakat di Malaysia, kita tidak dapat menerima sebarang pelawaan ini,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan sombong, angkuh dalam soal perpaduan: Hishammuddin
Dr Mahathir sebelum ini mempelawa semua parti politik Melayu tempatan untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.
Perdana Menteri berkata, perkara itu penting kerana ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!