Tukar kerajaan jika gagal tunai manifesto: Tun Daim
SUNGAI TENGI –Tunaikan janji manifesto atau berdepan kemungkinan bertukar kerajaan.
Itu kata Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin ketika berucap pada Majlis Hi-Tea bersama warga Felda Wilayah Trolak di Felda Sungai Tengi di sini, semalam.
Bekas menteri kewangan itu berkata, rakyat berhak berbuat demikian sekiranya PH gagal menunaikan janji Manifesto PRU14.
"Kalau tak jaga, PRU akan datang tukar kerajaan. Ini memang hak rakyat, kalau tak bela rakyat nanti ada orang lain yang akan bela.
"Janji manifesto sesuatu yang boleh dilaksana tapi kerajaan kena beri tumpuan. Mungkin perlu sedikit masa, menteri mesti selesaikan masalah," katanya.
Menurutnya, rakyat jemu mendengar permasalahan berkaitan hutang sebaliknya mahu kerajaan menyelesaikan perkara tersebut.
"Tanggungjawab kerajaan mestilah mengutamakan rakyat, tak mahu dengar tiada duit sebab rakyat pilih kerajaan suruh cari duit bela rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Tun Daim berkata, Felda ditubuhkan untuk membela rakyat miskin dengan meningkatkan pendapatan peneroka, namun campur tangan politik dalam kalangan pemimpin tidak beramanah kerajaan terdahulu menyebabkan pelbagai masalah berbangkit dalam pengurusan.
"Dulu ketika ditubuhkan Felda memang berjaya tapi bila politik ambil alih, macam-macam berbangkit. Bila pemimpin tidak amanah, yang derita adalah peneroka. Harga naik turun bukan perkara baru kerana tahun 1998 pun jatuh tapi kerajaan ambil perhatian.
"Masa pilihan raya dulu, Mazlan Aliman jumpa peneroka minta sokong PH, jadi sekarang peneroka tak mahu dengar masalah kerana yang penting sekarang adalah cari jalan penyelesaian," katanya.
Menurutnya, peneroka diminta supaya terus memberi sokongan dan kepercayaan kepada kerajaan PH untuk mengembalikan kecemerlangan Felda sekali gus menunaikan janji manifesto.
Sementara itu, majlis tersebut dihadiri Pengerusi Majlis Permuafakatan NGO Felda (MPNF), Datuk Mazlan Aliman; Pengerusi Felda, Tan Sri Datuk Megat Zaharuddin Megat Mohd dan Ketua Peneroka Kebangsaan Felda, Sulong Jamil Mohamed Shariff.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!