Jangan gamit perseteruan antara kaum, agama
KUALA LUMPUR - Rakyat di seluruh negara diingatkan agar tidak menggamit perseteruan antara satu sama lain terutama dalam perkara berkaitan agama dan bangsa, sehingga boleh menggugat keamanan yang dikecapi selama ini.
Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu berkata api pergaduhan ini memang mudah untuk dinyalakan, namun ia mengambil masa yang panjang untuk dipadamkan.
"Ia mudah dibakar untuk berlaku satu pergaduhan di seluruh negara kita yang aman terutama sejak pihak komunis membuat perjanjian untuk meletak senjata, negara kita sudah berada dalam keadaan aman dan tenteram. Justeru, jangan kita menggamit perseteruan-perseteruan yang baharu.
"Cari jalan penyelesaian, berunding, bercakap, berdialog tetapi jangan sampai ke peringkat pertarungan fizikal," katanya ketika berucap sebelum menyampaikan sijil kepada graduan Majlis Konvokesyen Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) ke-52 di sini, hari ini.
Mohamad berkata pergaduhan sesama rakyat bukan sahaja menjejaskan perpaduan tetapi juga akan melumpuhkan ekonomi seperti yang berlaku di negara-negara dilanda konflik.
"Negara yang huru-hara, siapa yang nak labur. Untuk pulihkan ekonomi, perlu pulihkan keamanan terlebih dahulu," katanya.
Dalam hal ini juga, Mohamad menarik perhatian bahawa pergaduhan sesama sendiri akan turut melibatkan mereka yang tidak ada kena mengena dalam kejadian itu selain terpaksa meletakkan anggota Angkatan Tentera Malaysia dan pasukan keselamatan di barisan hadapan dan terlibat secara langsung, sedangkan bukan mereka yang memulakan pergaduhan.
Justeru, jasa ATM termasuk veteran harus dikenang dan beliau berjanji akan mengabdikan diri untuk menjadi pejuang kebajikan mereka.
Setakat ini, kebajikan kepada ATM dan veteran belum memadai dan perlu dipertingkat supaya walaupun bukan niat parajurit untuk jasa mereka dibayar wang tetapi sekurang-kurangnya perjuangan mereka dikenang," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!