Jumlah terkini Tabung Harapan cecah RM199 juta

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

PUTRAJAYA - Beberapa hari menjelang penutupan rasmi Tabung Harapan Malaysia (THM) pada 31 Disember ini, sebanyak RM199,140,218.80 berjaya dikumpulkan sehingga hari ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Jabatan Audit Negara akan mengaudit Penyata Penerimaan dan Bayaran Akaun THM bagi memastikan pengurusan tabung tersebut dibuat secara teratur dan berintegriti.

“Semua pihak yang ingin membuat sumbangan diminta memasukkan wang atau cek secepat mungkin menjelang penutupan tabung ini pada 31 Disember 2018. Potongan cukai akan diberikan kepada setiap sumbangan untuk 2019.

“Kerajaan akan memastikan sumbangan yang diberikan ini akan digunakan untuk melangsaikan hutang negara walaupun nilai hutang negara mencecah RM1 trilion, jauh berbanding hasil kutipan THM,” katanya.

Menurutnya, pelantikan firma audit luaran oleh Kementerian Kewangan bagi tujuan mengaudit akaun THM juga dibuat selaras dengan Seksyen 7 Akta Audit 1957.

“Kerajaan sangat menghargai solidariti rakyat Malaysia dalam usaha menangani isu hutang negara ini. Kerajaan berharap agar semangat ini tidak luntur dan dapat dikekalkan selama-lamanya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Guan Eng berkata, semangat ditunjukkan rakyat Malaysia adalah simbol taat setia dan patriotisme yang perlu dikekalkan.

“Kerajaan ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan penghargaan terima kasih kepada semua rakyat Malaysia yang telah memberikan sumbangan sepanjang tujuh bulan ia ditubuhkan.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga amat menghargai setiap sen yang didermakan. Ini menunjukkan rakyat amat prihatin dan bersatu hati dalam membantu kerajaan bersama-sama melangsaikan hutang negara,” ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!