Kelulusan permit pembinaan dipendekkan kepada 90 hari

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) hari ini memutuskan tempoh urusan mendapatkan kelulusan permit pembinaan dipendekkan daripada 390 hari kepada 90 hari, demikian menurut Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

Kementerian itu selaku urusetia EAC berkata mesyuarat keempat majlis yang dipengerusikan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di sini membincangkan cadangan penambahbaikan prosedur mendapat kelulusan permit pembinaan itu bagi mengurangkan kos menjalankan perniagaan dan merancakkan lagi pelaburan swasta.

"Cadangan penambahbaikan ini akan dilaksanakan segera dengan memansuhkan syarat yang tidak diperlukan tanpa melibatkan pindaan undang-undang berkaitan yang sedia ada," menurut kenyataan itu.

Menurut kementerian, mesyuarat hari ini membincangkan langkah segera yang boleh dilaksanakan untuk memacu industri pelancongan negara bagi merangsang ekonomi domestik, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan hasil pertukaran asing.

Antara perkara yang diberi penekanan ialah usaha untuk meningkatkan produk pelancongan, mempertingkat kualiti perkhidmatan, merangka semula kaedah pemasaran, mengukuhkan tadbir urus dan mempergiat pelancongan domestik, katanya.

Kementerian Hal Ehwal Ekonomi berkata kerajaan Pakatan Harapan turut mengutamakan langkah segera bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi, memastikan pembangunan yang mampan dan kemakmuran negara dapat dinikmati bersama oleh seluruh rakyat.

"Kerajaan yakin pelaksanaan langkah-langkah segera ini dapat merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi negara, seterusnya meningkat kesejahteraan rakyat untuk kemakmuran bersama," katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!