Lebih 4,500 pelarian Rohingya hilang tempat tinggal
DHAKA - Sekurang-kurangnya seorang maut dan lebih 4,500 hilang tempat tinggal dalam kejadian tanah runtuh yang disebabkan oleh monsun di kem pelarian Rohingya di Bangladesh.
Jurucakap Agensi PBB bagi Pelarian (UNHCR), Areez Rahman semalam berkata, 30 kem terjejas akibat ribut tersebut hingga menyebabkan seorang wanita berusia lingkungan 50-an terbunuh kerana dihempap dinding yang runtuh.
Jelasnya, sebanyak 26 kejadian tanah runtuh dilaporkan di kem sementara yang dibina di kawasan bukit.
Difahamkan, kira-kira 35 sentimeter hujan turun dalam tempoh 72 jam sebelum tanah runtuh melanda kem penempatan sekitar Cox’s Bazar yang menempatkan lebih 900,000 pelarian Rohingya.
“Ramai kanak-kanak diserang cirit-birit dan kami tidak mempunyai bekalan air yang cukup untuk minum,” kata ketua kem, Dil Mohammad.
Tambahnya, kebanyakan kawasan kem kini ditenggelami banjir separas lutut.
Selain itu, kira-kira 5,000 pelarian Rohingya yang terkandas di tanah tidak bertuan di antara Bangladesh dan Myanmar juga terjejas.
Tahun lalu, UNHCR telah memindahkan 30,000 pelarian Rohingya dari kawasan berisiko tinggi terdedah dengan banjir dan tanah runtuh. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!