Bersedia hadapi jenayah kolar putih

Sze Han (dua dari kanan) membuat gimik perasmian Seminar Pengauditan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia yang berlangsung di Hotel Concorde hari ini.
Sze Han (dua dari kanan) membuat gimik perasmian Seminar Pengauditan Pihak Berkuasa Tempatan Malaysia yang berlangsung di Hotel Concorde hari ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Juruaudit sektor awam perlu sentiasa kehadapan dengan ilmu dan pengetahuan terkini bagi membendung jenayah kolar putih yang sentiasa licik dalam memanipulasi sistem sedia ada.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baharu Selangor, Ng Sze Han berkata, jenayah kewangan memerlukan perakaunan forensik sebagai bidang pengkhususan untuk mengesan sebarang aktiviti penipuan dengan menyatakan fakta terperinci bagi kes-kes melibatkan wang.

Beliau berkata, setiap juruaudit pada masa kini perlu mendalami kemahiran perakaunan forensik ini bagi mengesan kerosakan yang dilakukan oleh penjawat awam tidak bertanggungjawab.

"Jenayah kolar putih yang terdiri daripada penjawat yang berkemahiran dalam memanipulasi bidang kewangan serta mampu mengaburi mata organisasi terhadap penyelewengan yang dilakukan.

"Disebabkan itu peranan juruaudit ini amat penting kerana mereka merupakan mata dan telinga kepada pihak pengurusan," katanya semasa berucap sewaktu perasmian Seminar Pengauditan Pihak Berkuasa Tempatn (PBT) Malaysia yang berlangsung di Hotel Concorde hari ini.

Hadir sama sewaktu majlis perasmian tersebut adalah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Haris Kasim.

Mengulas lanjut, Sze Han berkata, melalui penganjuran seminar tersebut, juruaudit di setiap PBT dapat menambah ilmu dan mempelajari proses-proses bagi membendung kegiatan jenayah kolar putih yang semakin licik pada masa kini.

Selain itu, beliau berkata, seminar ini juga dapat dijadikan platform buat para peserta untuk berkongsi pengalaman dan pengetahuan dalam meningkatkan lagi imej serta profesionalisme juruaudit di mata masyarakat.

Artikel Berkaitan:

"Seminar ini merupakan satu usaha yang baik kerana saya percaya setiap penjawat awam khususnya juruaudit sentiasa bersedia untuk memantapkan lagi kemahiran mereka bagi memastikan kerjaya ini berada pada tahap tertinggi," katanya.

Dalam pada itu, Sze Han yang juga merupakan ADUN Kinrara memaklumkan sistem pengauditan yang digunapakai oleh Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) juga merupakan yang terbaik di negara ini berbanding PBT lain.

Tambah beliau, selain itu kesemua 12 PBT di Selangor juga turut mempamerkan prestasi cemerlang apabila menerima penarafan lima bintang sebelum ini.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!