Stesen minyak dipecah masuk lelaki tak dikenali

Gambar di lokasi kejadian tular di media sosial. - Foto Ihsan Facebook My Kuala Langat
Gambar di lokasi kejadian tular di media sosial. - Foto Ihsan Facebook My Kuala Langat
A
A
A

KUALA LANGAT - Sebuah stesen minyak di pekan Telok Panglima Garang di sini dipecah masuk seorang lelaki tidak dikenali awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Azizan Tukiman berkata, kejadian disedari oleh pekerja stesen minyak berkenaan sekitar jam 6 pagi tadi ketika hendak memulakan tugas.

Menurutnya, pekerja berkenaan mendapati cermin kaunter bayaran pecah dan barang-barang di kaunter tersebut berselerak.

"Kejadian berkenaan diadukan kepada pengurusnya dan satu laporan polis dibuat," katanya kepada Sinar Harian, hari ini.

Azizan berkata, siasatan awal di lokasi kejadian, polis menemui kesan darah di bahagian lantai luar dan atas kaunter bayaran stesen minyak berkenaan.

"Semakan ke atas kamera litar tertutup (CCTV) stesen minyak berkenaan mendapati seorang lelaki dan menutup mukanya dengan kain dilihat telah memecah cermin kaunter stesen minyak berkenaan.

"Usaha mengesan suspek sedang giat dilaksanakan dan polis sedang membuat analisis berdasarkan rakaman CCTV bagi mengenal pasti suspek," katanya.

Azizan menambah, suspek dipercayai tidak berjaya melarikan sebarang wang memandangkan pengurus stesen minyak tidak meninggalkan wang di kaunter berkenaan.

Artikel Berkaitan:

"Tiada mangsa yang cedera di dalam kejadian ini kerana stesen minyak beroperasi dari 6 pagi hingga 11 malam dan kejadian berlaku di luar waktu operasi stesen minyak itu," katanya.

Azizan menambah, kes disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!