Didenda RM100 kerana intai orang 'lepas hajat'
PETALING JAYA - Gara-gara mengintai seorang lelaki sedang 'melepas hajat' di dalam stesen minyak, pembantu kedai didenda RM100 oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya hari ini.
Hukuman itu diputuskan oleh Majistret Nurshahira Abdul Salim selepas Sweepin Sahirati mengaku bersalah.
Sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut, lelaki itu diperintah menjalani hukuman penjara selama bulan.
Sweepin, 28, mengaku berkelakuan aib dengan mengintai mangsa yang berusia 27 tahun di tandas lelaki sebuah stesen minyak di Jalan PJS 8/9, Sungai Way, Petaling Jaya, jam 2.40 petang pada 27 Jun lalu.
Kesalahan itu dikemukakan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955.
Berdasarkan fakta kes, mangsa yang merupakan seorang kerani memasuki tandas tersebut dan ketika sedang membuang air besar, dia terlihat bayang-bayang seorang lelaki melalui air takung pada lantai tandas sedang beronani.
Apabila pengadu menoleh ke kiri, dia ternampak satu lubang sebesar jari kelingking dan Sweepin sedang memandangnya.
Dia kemudiannya keluar dan terserempak dengan lelaki itu dan membawanya ke bahagian hadapan stesen minyak berkenaan.
Lelaki yang berasal dari Sabah itu kemudiannya mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Terdahulu, pada prosiding itu, Sweepin yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan namun Timbalan Pendakwa Raya Hairuliqram Hairuddin memohon hukuman setimpal berbentuk pengajaran.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!