‘Mudah-mudahan ALLAH lindungi perjalanan pulang Ainul’
LONDON - Bapa kepada bayi istimewa, Ainul Mardhiah Ahmad Safiuddin mengakui akan pulang ke tanah air bersama anak kecil itu pada hantaran terbaharu di Facebooknya hari ini.
Melalui status terbaharunya itu, Ahmad Safiuddin Ahmad Razak, 24 berkata, sedang melakukan persiapan untuk pulang ke Malaysia.
“Persiapan untuk pulang sedang dibuat. Alhamdulillah, keadaan Ainul semakin baik. Namun masih perlu dijaga rapi untuk memastikan Ainul sembuh dan kuat.
“Pengalaman yang lepas, Ainul mendapat infection (jangkitan) setelah mengharungi perjalanan yang panjang selama tiga belas jam penerbangan, mudah-mudahan perjalanan pulang kali ini ALLAH SWT melindungi Ainul dan kami semua.
“Insya-ALLAH, ada rezeki bila Ainul dah betul-betul bersedia nanti, Ainul boleh berjumpa dengan tuan puan semua,” katanya.
Bagaimanapun katanya, buat masa ini, doktor menyarankan beliau dan isteri, Nurul Erwani Zaidi kurang mendedahkan Ainul agar mengelak daripada jangkitan.
“Buat masa sekarang, disebabkan Ainul ini terlalu ‘fragile’, doktor minta supaya kurang mendedahkan Ainul supaya risiko mendapat infection dapat dikurangkan.
“Walaubagaimana pun, kami sangat berbesar hati dan gembira bila dapat pulang ke tanah air. Malaysia adalah tempat ainul!
“Terima kasih tuan puan semua kerana mendoakan ainul dan seterusnya mendoakan kami semua. Kami berharap kepada Tuhan Yang Maha Esa semoga doa-doa yang baik itu dikembalikan semula kepada tuan/puan dan juga keluarga. Amin!” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!