Nyahkan FGV dari Bursa Malaysia
SUNGAI TENGI - Felda memerlukan geran sebanyak RM500 juta setahun melalui suntikan dana kerajaan bagi menjayakan tranformasi agensi itu.
Ketua Peneroka Felda Kebangsaan, Sulong Jamil Mohamed Shariff berkata, Felda mampu pulih dalam tempoh enam hingga tujuh sekiranya kerajaan meluluskan dana geran tersebut.
“Peruntukan khas sebanyak RM77 juta yang diumumkan kerajaan baru-baru ini tidak dapat menyelesaikan masalah dalam tempoh jangka panjang.
"RM77 juta ini difahamkan berbentuk pinjaman dan dengan jumlah itu, pengurusan Felda hanya mampu tidur lena dalam tempoh kurang sebulan,” katanya.
Menurutnya, masuk bulan kedua 2019, Felda kembali kusut dengan kehendak lebih 38,000 peneroka yang masih menerima sara hidup dan pendahuluan hasil.
"Felda pening semula tapi kalau ada geran RM500 juta setahun, Felda dapat selesaikan apa yang berbangkit daripada apa salah silap urus tadbir terdahulu..
"Kerajaan dapat laksanakan trasformasi baru, lepas itu kerajaan tak perlu bantu pun tak apa, Felda boleh jalan (menguruskan) sendiri," katanya.
Sulong Jamil berkata, sekiranya tiada peruntukan untuk geran tersebut, kerajaan disaran mengambil mengambil aset dimiliki Felda termasuk di luar negara untuk ditafsir nilai.
“Kerajaan boleh menyuntik dana atau berbentuk pinjaman berdasarkan jumlah nilai aset tersebut untuk Felda melakukan transformasi.
"Sebelum ini Felda menggunakan pendapatan dalaman untuk membayar sara hidup tapi sekarang tak mampu lagi disebabkan kejatuhan harga komoditi,” katanya.
Menurutnya, sebelum Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGV) disenaraikan dalam Bursa Malaysia, beliau seorang ketua wilayah yang menentang penyenaraian itu.
"Dengan harga saham sekarang merudum, ambil baliklah FGV dan dinyahkan dari senarai," katanya ketika berucap pada Majlis Hi-Tea Tun Daim Zainuddin Bersama Warga Felda Wilayah Trolak di sini, semalam.
Sulong Jamil berkata, pengurusan Felda perlu membubarkan beberapa jabatan tidak penting atau menyerap masuk ke unit tertentu seperti usahawan, pendidikan dan beli bagi memastikan perbelanjaan berhemah.
"Dalam pengurusan Felda hanya perlu ada tiga jabatan penting iaitu kewangan, perladangan dan komoditi. Tapi sekarang ada macam-macam jabatan maka untuk mendapatkan geran khas daripada kerajaan, jumlah kakitangan perlu dikurangkan.
"Sampai masa transformasi Felda dengan komersialkan tanaman lain kerana 10 hingga 15 tahun lagi bila China dan India keluar sawit sendiri, ke mana kita nak campak sawit kita?," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!