PM hadir di Parlimen setiap Rabu untuk PMQT
PUTRAJAYA - Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata hari ini beliau akan hadir di Parlimen setiap Rabu untuk menjawab soalan.
Ini, katanya, kerana terdapat banyak permintaan untuk Waktu Soalan Perdana Menteri (PMQT).
"Setiap Rabu saya akan ke Parlimen untuk menjawab soalan. Bukan salah saya bila tidak berada di Parlimen, ini kerana tiada soalan untuk saya.
"Sekarang ini kalau tidak ada question pun kena ada juga, saya kena pergi juga," katanya selepas mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana, di sini hari ini.
Timbalan Speaker Dewan Rakyat Nga Kor Ming dilaporkan berkata bahawa PMQT akan bermula seawal Oktober.
Bulan lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Keong berkata tidak perlu diadakan PMQT di Parlimen oleh kerana Waktu Soalan Menteri (MQT), yang dijadualkan pada Selasa dan Khamis sudah memadai. -Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!