Penggabungan tanah Felda bakal beri impak positif
SHAH ALAM - Rancangan kerajaan untuk mencantum atau menggabungkan tanah-tanah peneroka Felda menjadi ladang besar dilihat bakal meningkatkan produktiviti termasuk jumlah pengeluaran tanaman.
Pakar Ekonomi dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat Islam, Universiti Sains Islam Malaysia, Profesor Dr Abdul Rahim Abdul Rahman berkata, idea tersebut boleh direalisasikan kerana dengan saiz tanah yang lebih besar akan tercapai 'economies of scale' di mana peneroka boleh mengoptimakan penggunaan tanah dan mengurangkan kos pengeluaran.
Beliau berkata, melalui kaedah itu peneroka juga boleh meningkatkan modal dengan usahasama sama ada berbentuk kerjasama koperasi atau konsortium syarikat peneroka.
Menurutnya, dengan pengumpulan dana bersama yang lebih besar akan memungkinkan penggunaan teknologi pertanian yang boleh meningkatkan hasil pengeluaran jangka panjang.
Bagaimanapun katanya, terdapat beberapa cabaran untuk memastikan rancangan ini dapat dijayakan kerana ia memerlukan kesedaran di kalangan peneroka itu sendiri.
"Perlu ada semangat kerjasama antara peneroka.
"Selain itu, insentif daripada pihak kerajaan seperti modal pusingan untuk menggalakkan peneroka bekerjasama dalam bentuk koperasi atau konsortium syarikat-syarikat peneroka juga perlu diwujudkan, "katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu kerajaan merancang tanah-tanah peneroka Felda di seluruh negara dicantum menjadi ladang besar yang mampu memberi hasil lumayan menerusi pengurusan yang lebih tersusun dan profesional.
Rancangan itu katanya akan diuruskan oleh mereka yang pakar dalam bidang pengurusan perladangan.
Dalam perkembangan sama, Abdul Rahim turut bersetuju dengan pandangan Dr Mahathir bahawa pengurusan Felda tidak boleh hanya bergantung kepada tanaman tunggal kelapa sawit atau getah seperti diamalkan sekarang.
"Itu yang sepatutnya....Jika fokus pada satu produk saja kesannya dari sudut penggunaan tanah tak optimum dan ia amat berisiko terutamanya jika berlaku kejatuhan harga komoditi itu.
"Jika ada lebih daripada dua tanaman ia boleh menguruskan risiko tetapi tetap akan memberi kesan dari sudut kos kerana tanaman yang berbeza memerlukan tenaga kepakaran yang berbeza," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!